Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri

Kategori: 2009, Ucapan Menteri

Oleh :Y.B Menteri NRE
Tempat :
Dewan Baiduri, NRE, Putrajaya

Tarikh Ucapan :12 Disember 2008

UCAPAN YB MENTERI

BAGI MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BERSAMA

YB MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

 

 

Y.Bhg Senator Dato’ Maznah binti Mazlan

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Y.Bhg  Dato’ Zoal Azha bin Yusof

Ketua Setiausaha
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Y.Bhg  Dato’ Hj. Azmi Che Mat
Timbalan Ketua Setiausaha II

Ketua-Ketua Jabatan,

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ / Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

Selamat Pagi & Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu saya bersyukur kerana berpeluang untuk bertemu dengan Yang Berbahagia Dato’-Dato’ / Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan pada hari ini. Perhimpunan pada hari ini merupakan perhimpunan pertama saya bagi tahun 2009 dengan seluruh warga NRE, JAS, JKPTG serta JTL yang bertugas di bawah bumbung Wisma Sumber Asli ini, dan juga wakil-wakil semua Jabatan/Agensi yang lain. Rasanya belum terlewat untuk saya merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua.

Saya amat gembira melihat kehadiran Y.Bhg Dato’-Dato’ / Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan sekalian dalam majlis perhimpunan ini dan saya yakin kehadiran Y.Bhg  Dato’-Dato’ / Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan mencerminkan keprihatinan serta komitmen kita semua kepada tuntutan tugas dan tanggungjawab demi kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber asli secara holistik.

Pada kesempatan kali ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg. Datuk Suboh Mohd Yasin selaku Ketua Setiausaha yang telah berusaha dengan gigih untuk menerajui semua program-program  Kementerian sehingga mencapai prestasi perbelanjaan yang membanggakan pada tahun 2008 iaitu sebanyak 96.96% bagi perbelanjaan pembangunan dan 95.78% (kedua-dua jumlah adalah perbelanjaan sehingga 31 Disember 2008) bagi perbelanjaan mengurus.

Saya rasa awal tahun baru sebegini adalah masa yang paling sesuai untuk kita menilai semula semua prestasi yang telah kita capai pada tahun yang lalu. Dengan membuat penilaian, kita boleh mengenal pasti dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi segala kelemahan yang ada. Dalam tahun 2009 ini, kita akan menghadapi pelbagai cabaran baru terutama sekali dengan situasi ekonomi global yang tidak menentu dan sedikit sebanyak boleh menggugat kestabilan ekonomi negara kita. Sebagaimana dalam perutusan tahun baru 2009, Perdana Menteri mahu rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan walaupun kegawatan ekonomi belum begitu menekan negara ini. Oleh yang demikian, saya juga berharap agar kita semua di NRE dapat meningkatkan produktiviti kerja kerana dengan adanya pentadbiran yang cekap akan  dapat menjamin pengurusan ekonomi dan sosial yang baik dan mampu menarik keyakinan ramai orang kepada Negara kita. Mesej yang lebih jelas ialah inilah masa untuk kita berkorban kepada negara. Sesungguhnya kita telah mempunyai banyak pengalaman dalam mengharungi suasana dunia yang lebih buruk dan mencabar.

Selain daripada itu, pelanggan-pelanggan kita juga tentu mengharapkan perkhidmatan yang lebih efisyen dan cepat daripada kita. Saya berharap semua warga NRE akan menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab, jujur dan segera atau “with a sense of urgency, responsibility and honesty”.

Y. Bhg Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

WARISAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR UNTUK KESEJAHTERAAN HIDUP

Kita sebagai manusia memang sentiasa mengharapkan dapat menjalani satu kehidupan yang baik dan penuh keselesaan. Alam ini telah dijadikan dengan segala kelengkapan dan kemudahan yang cukup untuk manusia. Kemudahan-kemudahan asas seperti air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya merupakan pakej pelengkap kepada kelangsungan hidup kita semua di dunia ini. Kita diamanahkan untuk mengurus alam ini dengan baik, di samping mengguna pakai segala kemudahan tersebut untuk urusan keperluan hidup. Sebagai manusia kita mempunyai tanggungjawab kepada alam sekitar iaitu untuk menghargai dan memelihara ia dengan baik agar dapat diwariskan kepada generasi kita yang seterusnya.

Tugas kita sebagai pegawai dan kakitangan di NRE yang memang diamanahkan untuk menjaga alam ini adalah lebih berat. Kelangsungan proses pembangunan perlulah diambil perhatian tetapi pelaksanaannya tidak seharusnya merosakkan alam sekitar dan sumber aslinya. Jika kecenderungan menguasai dan mengeksploitasi alam dilaksanakan secara berlebihan, keseimbangan ekosistem mungkin tidak dapat dikekalkan. Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Ulu Yam dan Bukit Antarabangsa sehingga mengakibatkan beberapa nyawa terkorban. Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang akibat kerakusan pihak tertentu  meneroka kawasan-kawasan yang sepatutnya dipelihara dengan baik untuk mengekalkan keseimbangan alam.

Y. Bhg Dato’-Dato’/ Datin-Datin/ Tuan-tuan & Puan-puan,

 

PELAN TINDAKAN PERANCANGAN STRATEGIK 2009

 

Untuk mencapai segala yang dicita-citakan bukanlah mudah, tetapi dengan adanya perancangan yang betul akan dapat membantu kita dalam melaksanakan semua strategi baik dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Pelan Tindakan Perancangan Strategik telah digubal dan diperhalusi sebelum ini. Walaupun masih ada strategi yang belum tercapai, kita tidak boleh berputus asa. Tahun 2009 ini akan menjadi tahun pelaksanaan kepada perancangan yang masih belum dapat dibuat.

 

Tiga (3) teras yang telah digubal dalam Pelan Tindakan Perancangan Strategik ialah pengurusan dan pembangunan sumber asli, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar dan sokongan kepada sistem penyampaian. Ketiga-tiga teras ini hanya akan dapat dicapai dengan adanya semangat kerja berpasukan dari semua pihak tanpa mengira status.

 

Isu pengurusan dan pembangunan sumber asli bukan lagi satu perkara baru. Dalam memenuhi tuntutan pembangunan demi untuk  kehidupan yang lebih baik, kita seringkali lupa dan alpa untuk memberi perhatian tentang perkara ini. Seringkali kealpaan ini mendatangkan pelbagai kesan negatif terhadap alam. Hutan diteroka dengan sewenang-wenangnya dan pembangunan di lereng-lereng bukit menjadi bukti kehancuran alam ini adalah disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri.

Sehubungan itu, beberapa strategi telah digubal untuk meningkatkan kecekapan pengurusan sumber asli di negara kita. Strategi-strategi yang diperkenalkan tersebut akan memberi perhatian terhadap program-program berkaitan dengan pengurusan sumber hutan dan pemuliharaan hutan,  pengurusan pengunaan air dan lembangan sungai secara bersepadu, pelaksanaan pengurusan pencegahan banjir, pengurusan dan konservasi biodiversiti secara lestari, pengukuhan perlindungan spesies hidupan liar negara dan pengurusan pembangunan sumber mineral negara.

Pelbagai dasar, akta dan prosedur kerja  telah diwujudkan untuk mencapai pelan perancangan strategik NRE. Di antaranya ialah Dasar Mineral Negara ke-2 yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 5 Februari 2008 yang memberi fokus kepada empat (4) bidang iaitu pembangunan fizikal sumber mineral, penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial, penyelidikan dan pembangunan (R & D) dan pembangunan modal insan serta fokus yang keempat iaitu promosi dan hubungan awam. Selain daripada itu, penguatkuasaan hutan dalam membanteras pembalakan haram serta memecahkan rangkaian sindiket pembalakan haram akan dimantapkan dengan memperkemaskan perundangan dan prosedur peruntukan-peruntukan Akta Perhutanan Negara, 1984 (Akta 313).

Kita juga berusaha untuk memperkemaskan lagi program-program pengurusan air  dan lembangan sungai melalui Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara. Beberapa strategi penting telah dirangka dalam menambahbaik program ini seperti Pewartaan Rizab Sungai  Oleh Kerajaan Negeri, Pelaksanaan Program Ops Lumpur di semua negeri, Penggunaan Peta Risiko Banjir oleh Kerajaan Negeri  dan Pihak Berkuasa Tempatan sebagai rujukan  dalam meluluskan projek pembangunan baru dan Pelaksanaan Kajian Susulan dan Tambahan Secara Terperinci  Bagi Menegnalpasti Impak Perubahan Iklim Kepada Infrastruktur Air Oleh NAHRIM.

Melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang ke – 64 yang diadakan pada 23 Disember 2008 pula, 1 Januari 2009 telah diwartakan sebagai tarikh kuat kuasa Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2008 [Akta A1333] bagi semua negeri di Semenanjung Malaysia. Setelah tarikh kuat kuasa ini diwartakan, maka satu tarikh bersesuaian akan ditetapkan supaya pemakaian dan pelaksanaan Sistem Elektronik Pentadbiran Tanah menurut Seksyen 5D dan Jadual Keenam Belas Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2008 [Akta A1333] di negeri-negeri boleh dikuatkuasakan tanpa perlu merujuk semula kepada MTN untuk kelulusan. Selain daripada itu, penguatkuasaan pemakaian dan pelaksanaan Sistem Pengkomputeran Hakmilik Strata menurut Seksyen 4A dan Jadual Kelima Akta Hakmilik Strata 1985 di negeri-negeri juga akan dilaksanakan.

Pihak Kementerian juga sedang dalam peringkat penyediaan Draf Peraturan Pembangunan di Tanah Tinggi dan Lereng Bukit dan Semakan Pindaan Akta Pemuliharaan Tanah 1960. Dengan adanya peraturan-peraturan sebegini, kita mengharapkan tiada lagi pembangunan yang dilaksanakan tanpa kawalan sehingga mengakibatkan kerosakan kepada muka bumi ini.

Pelbagai kempen-kempen kesedaran alam sekitar juga telah dan akan diadakan lagi pada tahun 2009 ini. Program-program peningkatan kualiti air, udara dan marin perlu terus dilaksanakan untuk memastikan harapan rakyat Negara ini untuk hidup dalam dunia yang lebih bersih menjadi kenyataan.

Kecemerlangan sesebuah organisasi juga turut bergantung kepada prestasi pegawainya. Sehubungan itu, kita seharusnya memberikan tumpuan kepada usaha yang berterusan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kreativiti sumber manusia melalui program-program pembangunan dan latihan. 

Selain daripada itu, semangat kerja berpasukan juga seharusnya diterapkan dalam diri setiap pegawai di NRE. Perkongsian maklumat, kepakaran dan tenaga di antara kesemua pegawai-pegawai di NRE adalah amat penting untuk menangani setiap isu berkaitan sumber asli dan alam sekitar yang timbul. Gabungan dan perkongsian di antara berbagai kemahiran dan bidang ini akan membantu dalam penghasilan idea-idea yang lebih kreatif bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kita di NRE kepada pelanggan juga perlu ditingkatkan. Saya percaya kita mempunyai pelbagai saluran untuk pelanggan mengemukakan komen, menyuarakan permasalahan dan memberikan pandangan mereka. Di antaranya ialah pengwujudan talian bebas tol NRE, penggunaan aplikasi-aplikasi elektronik dan yang terkini melalui sistem pesanan teks atau SMS. Dengan adanya saluran-saluran sebegini, kita akan mendapat pelbagai maklumat dengan lebih cepat dan seharusnya warga kerja di NRE perlu berusaha supaya semua maklumat yang disampaikan dapat disemak dengan segera untuk mengelakkan sebarang masalah daripada berlaku.

PENUTUP

 

Saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009. Kejayaan Kementerian dan Jabatan-Jabatan di bawahnya pada hari ini tidak dapat dicapai dengan mudah. Komitmen yang tinggi daripada setiap anggota organisasi untuk memenuhi amanah dan tanggungjawab masing-masing adalah sangat dihargai. Semoga tahun 2009 ini akan memberikan kita semua hidup yang lebih baik. Justeru, segala-galanya amat memerlukan pengorbanan, iltizam dan semangat muafakat yang cukup kental daripada semua pihak.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

 

Copyright © 2008

 

Valid XHTML 1.1