UCAPAN PERASMIAN DAN UCAPTAMA OLEH
Y.BHG. DATUK SUBOH BIN MOHD. YASIN,
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM MEMBENTUK PELAN PENGURUSAN BERSEPADU PULAU BANDING
17 NOVEMBER 2008
Terima kasih saudara Pengerusi Majlis
Y.Bhg Tan Sri Datuk Hj. Mustapha Kamal bin Hj. Abu Bakar
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah
Pulau Banding Foundation
Y.Bhg. Dato’ Seri Azahar Muda
Ketua Pengarah
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Y.Bhg. Dato’-Dato’
Tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahhi barakatuh
Salam sejahtera dan Selamat pagi.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian Y.Bhg. Tan Sri menjemput saya untuk melancarkan dan memberi ucaptama di Majlis Pelancaran Program Membentuk Pelan Pengurusan Bersepadu Pulau Banding pada pagi ini.
2. Seperti mana Y.Bhg Tan Sri/Tuan-tuan/Puan-puan sedia maklum, Pulau Banding merupakan pulau buatan manusia yang terletak di Tasek Temenggor. Pulau Banding menjadi pintu masuk ke Hutan Belum-Temenggor yang berusia 130 juta tahun yang mana kaya dengan pelbagai flora dan fauna seperti Rafflesia; halia dan orkid liar; pelbagai spesies kayu balak seperti meranti, cengal, keruing dan merbau; dan mempunyai sekurang-kurangnya 60 lokasi jenut (salt lick sites) yang dikunjungi oleh pelbagai hidupan liar seperti Badak Sumbu Sumatra; beruang matahari, harimau dan tapir. Saya juga dimaklumkan bahawa kawasan Hutan Belum-Temengor merupakan satu-satunya lokasi di Malaysia yang dihuni oleh kesemua 10 spesies burung enggang yang terdapat di Malaysia.
3. Taman Negeri Di Raja Belum ini bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan untuk melindungi khazanah negara yang begitu berharga tetapi juga menjadi sumber kepelbagaian biologi yang penting. Tambahan lagi, Taman Negeri Di Raja mempunyai nilai-nilai ekonomi yang boleh dijana seperti aktiviti ekopelancongan; penyelidikan dan pembangunan (R&D); bank gen (genetic bank); warisan kebudayaan dan lain-lain lagi yang mampu menarik minat lebih ramai pelawat dari dalam dan luar negara.
4. Sebagai salah sebuah daripada 12 negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi, Malaysia berupaya menggunakan kekayaan kepelbagaian sumber semula jadi ini untuk pembangunan negara serta kemajuan sosioekonomi. Pada masa yang sama, kita ingin memastikan bahawa kekayaan flora dan fauna yang dinikmati sekarang akan terus dinikmati oleh generasi-generasi akan datang.
Y.Bhg. Tan Sri/ Dato’-Dato’/ Tuan-tuan/ Puan-puan,
5. Pada masa ini, keluasan tanah berhutan negara adalah seluas 19.52 juta hektar atau 59.5% daripada keluasan tanah negara. Dari jumlah keluasan tersebut seluas 14.4 juta hektar adalah berstatus Hutan Simpanan Kekal iaitu bersamaan 44% daripada keluasan tanah negara. Hutan ini merupakan warisan negara yang boleh diperbaharui dan perlu diurus secara berkekalan.
6. Dalam hal ini, satu usaha untuk memulihara kepelbagaian biologi negara adalah dilaksanakan melalui pengurusan kawasan perlindungan (protected area). Di Malaysia, kawasan perlindungan adalah termasuk Rizab Hidupan Liar dan Santuari Burung, Taman Negara dan Taman Negeri. Selain itu, Hutan Perlindungan di bawah kategori Hutan Simpanan Kekal seperti Hutan Tadahan Air, Hutan Perlindungan Tanah, Hutan Simpan Hutan Dara, Hutan Pelajaran dan Hutan Penyelidikan juga termasuk di bawah definisi kawasan perlindungan. Kawasan perlindungan ini dibentuk bukan untuk disisihkan statusnya dari arus pembangunan tetapi merupakan sebahagian daripada landskap negeri yang berpotensi untuk dimajukan berdasarkan kepada objektif asal penubuhannya.
7. Penghasilan pelan pengurusan bersepadu pula adalah mekanisme kepada pengurusan kawasan perlindungan yang mana konsep ini boleh diperkenalkan di Pulau Banding. Dalam hal ini, pembentukan Pelan Pengurusan Bersepadu Pulau Banding perlu memaksimumkan faedah-faedah yang boleh diraih secara lestari (sustainability) bagi generasi semasa serta keupayaan untuk memenuhi keperluan dan aspirasi generasi akan datang.
7. Pembangunan Pulau Banding yang berada di dalam lingkungan Northern Corridor Economic Region (NCER) harus melibatkan pelbagai pihak termasuk masyarakat tempatan dan orang asli dan berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat sekeliling dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan serta perniagaan. Adalah diharapkan kesan limpahan (spillover effect) daripada pembangunan yang dilaksanakan diharap akan turut dirasai oleh masyarakat tempatan.
Y.Bhg. Tan Sri/ Dato’-Dato’/ Tuan-tuan/ Puan-puan,
8. Suka saya mencadangkan di sini bahawa pelan pengurusan yang akan dibentuk nanti perlulah juga selaras dengan Dasar Perhutanan Negara, 1978 dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, 1998. Antara strategi Dasar tersebut yang boleh dicapai melalui penghasilan pelan ini adalah ia dapat meningkatkan penggunaan komponen kepelbagaian biologi secara lestari di samping mengintegrasikan pertimbangan kepelbagaian biologi ke dalam strategi perancangan sektor. Pelan pengurusan bersepadu akan memastikan semua pihak memainkan peranan supaya bukan sahaja faedah ekonomi yang berjaya diraih malah yang lebih penting, aspek pemuliharaan kepelbagaian biologi serta alam sekitar sentiasa terjamin.
9. Di samping itu, pelaksanaan kriteria dan petunjuk pengurusan hutan secara berkekalan hendaklah dipertingkatkan dan usaha pensijilan pengurusan hutan hendaklah diteruskan. Dalam konteks ini, pencapaian Malaysia dalam bidang pensijilan pengurusan hutan di mana kesemua 8 buah negeri yang mempunyai aktiviti pembalakan komersil dan beberapa Forest Management Unit di Sabah dan Sarawak sememangnya merupakan sesuatu kejayaan yang patut kita banggakan. Kejayaan ini sukar ditandingi oleh negara-negara membangun lain pada masa sekarang.
10. Kerajaan pada tahun 2007 juga telah memperkenalkan Akta Biokeselamatan yang bertujuan untuk mengimbangi pembangunan bioteknologi moden untuk kegunaan yang berfaedah di samping memastikan ianya tidak mendatangkan kesan-kesan yang memudaratkan. Akta tersebut bertujuan untuk memastikan hasilan atau produk yang menggunakan organisma yang diubahsuai (Living Modified Organisms - LMOs) dijamin selamat sama ada kepada manusia, haiwan dan persekitaran. Ia melengkapi Dasar Bioteknologi Negara dengan menyediakan instrumen perundangan yang kukuh supaya pembangunan industri bioteknologi negara dapat bergerak dengan lancar tanpa mengkompromikan aspek keselamatan dan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar. Namun begitu, perlu saya tekankan di sini bahawa Akta tersebut tidak akan menghalang aktiviti R&D yang melibatkan teknologi kejuruteraan gen melalui bioteknologi moden.
Y.Bhg. Tan Sri/ Dato’-Dato’/ Tuan-tuan/ Puan-puan,
11. Panel Antara-Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change) pada 2 Februari 2007 telah meramalkan bahawa jika tanpa sebarang tindakan untuk mengurangkan gas rumah hijau (green house gases), suhu purata dunia akan naik di antara 1.8 – 4.0 oC dalam abad ini. Menurut kajian yang telah dijalankan, kegiatan manusia seperti pembakaran bahan api, pembukaan kawasan atau penebangan hutan yang tidak terkawal untuk pelbagai kegunaan telah menimbulkan pemanasan global.
12. Laporan Pembangunan Manusia 2007/2008 menyatakan bahawa jumlah pelepasan CO2 Malaysia pada tahun 1990 adalah 55 juta tan dan jumlah ini meningkat kepada 177 juta tan pada tahun 2004 dan menyumbang kira-kira 0.6% pelepasan CO2 dunia bagi tahun 2004. Peningkatan pelepasan CO2 adalah sebanyak 221%. Jika diunjurkan secara linear, pada tahun 2020 Malaysia akan melepaskan hampir 316.4 juta tan CO2. Berdasarkan keluasan hutan pada tahun 2000, adalah dianggarkan sebanyak 350 juta tan CO2 dapat diserap dan disimpan oleh dirian hutan. Anggaran perangkaan ini menunjukkan keluasan hutan yang sedia ada masih mampu mengimbangi jangkaan pelepasan CO2 negara menjelang tahun 2020. UNFCCC juga berpandangan bahawa Reducing emissions from deforestation and forest degradation in developing countries (REDD) termasuk pengurusan hutan secara berkekalan adalah antara pendekatan yang cepat, mudah dan murah dalam menangani isu pelepasan CO2 dan sink karbon.
Y.Bhg. Tan Sri/ Dato’-Dato’/ Tuan-tuan/ Puan-puan,
13. Masyarakat perlu sedar bahawa kesan perubahan iklim bukannya satu khayalan atau mitos. Perubahan iklim berlaku sama ada kita bertindak atau sebaliknya. Jika kita bertindak sekarang, negara akan mampu untuk mengurangkan kesan perubahan iklim yang berlaku sekarang seperti kekerapan berlakunya banjir, krisis bekalan air, kekurangan makanan dan lain-lain. Kita mengakui bahawa kita masih belum berupaya untuk menangani kesan perubahan iklim secara sendirian kerana teknologi dan kepakaran yang terhad serta keupayaan kewangan yang terbatas. Kerjasama negara-negara maju dari segi teknologi dan kepakaran amat digalakkan terutamanya dalam melaksanakan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi terhadap kesan perubahan iklim.
14. Memandangkan isu perubahan iklim merentas pelbagai sektor, adalah penting untuk tindakan bersepadu dan penglibatan semua pihak termasuk sektor korporat, NGOs dan segenap lapisan masyarakat diambil. Penglibatan dan sumbangan sektor korporat amat penting dalam memastikan kejayaan program pelaksanaan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility – CSR) kerana persekitaran yang bersih dan sihat telah menyumbang ke arah kejayaan mereka.
15. Dalam hubungan ini, Kementerian telah menandatangai satu perjanjian persefahaman dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 6 Jun 2008 bagi memulakan “Voluntary Carbon Offset Scheme” atau “Skim Mengimbangi Karbon Secara Sukarela”. Melalui skim ini, penumpang MAS boleh membuat sumbangan kepada Tabung yang diwujud khas oleh Kementerian semasa pembelian tiket secara online. Dana dari tabung tersebut akan digunakan bagi membiayai aktiviti mitigasi seperti penanaman pokok, pemulihan kawasan hutan dan lain-lain. Saya berharap supaya lebih banyak pihak korporat akan menyertai skim ini selain daripada MAS.
Y.Bhg. Tan Sri/ Dato’-Dato’/ Tuan-tuan/ Puan-puan,
16. Sepertimana kita sedia maklum bahawa pembangunan negara adalah berpandukan kepada lima teras utama negara di dalam Misi Nasional. Teras Ke-4 Misi Nasional berkait dengan pengurusan sumber secara berkekalan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di mana ia akan memfokuskan kepada usaha meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup. Adalah penting pembangunan sosioekonomi secara lestari yang ingin dicapai tidak menjejaskan alam sekitar. Kualiti hidup rakyat tidak akan dapat dikekalkan tanpa usaha bersepadu untuk mengurus sumber dengan lebih bijak.
17. Sebagai kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dalam memelihara dan memulihara alam sekitar kita. Saya berharap program yang dilaksanakan oleh Pulau Banding Foundation dapat memberi sumbangan bermakna ke arah pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Pulau Banding Foundation dalam usahanya untuk membentuk Pelan Pengurusan Bersepadu Pulau Banding. Saya yakin usaha ini akan memastikan pembangunan yang dilaksanakan adalah secara lestari serta masyarakat tempatan terutamanya dapat terlibat di dalam pembangunan serta program-program yang akan dilaksanakan kelak.
18. Sebelum saya mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya ingin mengajak semua yang hadir pada majlis ini supaya mencintai dan menghargai alam sekitar, iaitu suatu kurniaan Illahi yang tidak terhingga nikmatnya. Jadikanlah bumi Malaysia yang dipijak ini, tempat yang sihat, makmur dan selamat untuk kita dan generasi akan datang.
19. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Program Pembentukan Pelan Pengurusan Bersepadu Pulau Banding.
Sekian, terima kasih.