Majlis Perasmian Seminar Dan Bengkel MyGDI 2008 Negeri Terengganu

Kategori: 2008, Ucapan Timbalan Ketua Setiausaha II

Oleh :Y.Bhg Dato’ Haji Azmi Che Mat
Tempat :
Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu

Tarikh Ucapan :23 – 24 Jun 2008

 

 

 

Terima Kasih Saudara Pengerusi Majlis.

 

 

Yang Berhormat Dato' Haji Mokhtar bin Nong

Setiausaha Kerajaan Terengganu

 

Y. Bhg. Dato’ Abd. Razak Ismail

Pengarah Tanah & Galian Negeri Terengganu

 

Yang dipertua-Yang Dipertua PBT

seluruh Negeri Terengganu

 

Ketua-ketua Jabatan Negeri Terengganu

 

Dato’-dato’/Tuan/Puan/

Para Hadirin Sekalian

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi

Wabarakatuh dan salam sejahtera

 

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya pada hari ini kita dapat sama-sama berada di sini untuk menjayakan program ‘Seminar MyGDI Dan Bengkel Pembangunan Fundamental Dataset MyGDI Negeri Terengganu’.  Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri kerana sudi meluangkan masa menghadiri dan seterusnya menyempurnakan majlis perasmian seminar pada pagi ini.

 

 

Seminar MyGDI di Negeri Terengganu ini adalah merupakan yang kedua diadakan di mana seminar yang pertama telah diadakan pada 19 Mei 2005.  Seminar ini adalah salah satu usaha Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara, atau MaCGDI untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai status kemajuan MyGDI dan tentang kepentingan penggunaan maklumat geospatial dan GIS di samping menggalakkan penggunaan aplikasi tersebut di negeri ini khasnya.

 

 

Seminar ini, yang akan diikuti dengan satu bengkel framework data merupakan platform penting untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan pembangunan data Geospatial MyGDI serta peranan aplikasi MyGDI sebagai satu alat perkongsian data geospatial di kalangan agensi-agensi kerajaan serta pengguna-pengguna GIS yang lain.Di samping itu, seminar dan bengkel ini juga merupakan salah satu usaha yang dirancang khas untuk mengkaji hala tuju MyGDI negeri Terengganu, khasnya dalam pembangunan data Geospatial. Saya difahamkan bahawa Pentadbiran Negeri Terengganu sememangnya memberi sokongan ke atas usaha dan inisiatif projek GIS oleh agensi negeri dan swasta di Terengganu.  Di antara usaha tersebut termasuklah projek penyediaan peta maklumat kampung dan profil penduduk yang dibangunkan oleh pihak TDI (Terengganu Development Industries), selain itu juga Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang membangunkan aplikasi GIS untuk Pengurusan Air Tanpa Hasil (NRW) secara Bersepadu.

 

 

Yang Berhormat Dato’,

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

 

Bengkel yang diadakan semasa seminar ini akan membincangkan secara terperinci isu-isu berkaitan framework data, yang dikenal pasti sebagai salah satu penyebab yang memperlahankan pelaksanaan MyGDI di seluruh negara.  Isu seperti ketiadaan pangkalan data yang lengkap, kualiti data yang berbagai-bagai serta proses pengemaskinian data yang tidak berkesan dan sebagainya telah membantut usaha penggunaan data geospatial dalam membuat keputusan serta perancangan projek-projek penting.

 

 

Apa yang diharapkan daripada program ini ialah pemupukan kerjasama di antara semua agensi yang terlibat agar dapat menggembleng tenaga membangunkan data geospatial MyGDI untuk digunakan dalam perancangan dalam membuat keputusan dan penguatkuasaan oleh agensi-agensi di negeri ini.  Di dalam era globalisasi yang berasaskan internet, maklumat geospatial yang lengkap merupakan aspek penting dan menjadi pemangkin kepada pembangunan serta mampu memacu perkembangan pelbagai sektor seperti sektor pelancongan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan sebagainya.

 

 

Kerjasama serta semangat saling membantu dari semua pihak akan memudahkan proses pembangunan data geospatial yang lengkap, tepat dan terkini.  Sumber data yang teragih (distributed) di pelbagai agensi telah menyebabkan kesukaran pengguna GIS untuk mendapatkan data tertentu.  Di samping itu juga pelbagai agensi yang membangunkan data secara berasingan boleh menyebabkan inefficiency dalam perbelanjaan wang kerajaan kerana ada kemungkinan data yang sama dikutip berulang kali oleh pihak yang berlainan.  Oleh sebab itu, melalui penyelarasan dan pemantauan data yang baik oleh penyelaras MyGDI Negeri akan dapat mengurangkan perkara ini daripada berlaku.  Tambahan pula dengan menggunakan aplikasi MyGDI, ia akan dapat memudahkan pengguna-pengguna GIS sama ada sektor kerajaan, swasta mahupun akademia untuk mencapai data pelbagai agensi melalui satu saluran web sahaja.

 

 

MyGDI hanyalah satu infrastruktur perkongsian data geospatial, namun apa yang lebih penting dalam MyGDI adalah data geospatial itu sendiri.  Tanpa data geospatial lengkap yang mematuhi standard yang ditetapkan, pengguna tidak dapat memperoleh manfaat yang diharapkan daripada aplikasi ini.  Oleh itu, agensi pembekal data geospatial adalah merupakan penyumbang penting MyGDI yang memainkan peranan utama dalam menyalurkan maklumat yang diperlukan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain di mana maklumat itu akan dapat memudahkan pengguna-pengguna GIS membuat analisis bagi penyediaan keputusan dan tindakan yang cepat,tepat dan efektif.

 

 

Yang Berhormat Dato’,

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

 

Di antara elemen penting yang perlu diambil berat dalam perkongsian data geospatial adalah ketepatan data yang dibangunkan, standard dan skala yang digunakan.  Ini semua adalah penting untuk memastikan data yang dikongsi akan dapat digunakan dengan mudah dan berkesan.  MaCGDI pada masa yang sama sedang membangunkan satu fundamental dataset yang berasaskan geodatabase untuk digunakan oleh semua pengguna GIS sebagai data asas dalam sistem GIS mereka.  Oleh itu, melalui forum-forum tertentu yang dianjurkan oleh MaCGDI, ia mengupayakan agensi-agensi pembekal data serta pengguna membahaskan dan membincangkan perkara-perkara ini dengan lebih terperinci.

 

 

Perkongsian data di antara agensi sangatlah penting, namun semua pihak perlu berhati-hati dalam membuat perkongsian data agar data-data sulit dan rahsia yang mempunyai kepentingan dan keselamatan negara tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu yang boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.  Oleh sebab itu polisi dan dasar perkongsian data hendaklah jelas dan difahami oleh semua pihak.

 

 

Pihak MaCGDI melalui Jawatankuasa Framework sedang memberi tumpuan kepada pembangunan geodatabase fundamental dataset kebangsaan berasaskan kepada 12 tema yang termaktub dalam ‘MS1759 - GEOGRAPHIC INFORMATION/GEOMATICS - FEATURE AND ATTRIBUTE CODES’.  Ini adalah salah satu langkah awal pihak MaCGDI merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan Pusat Data Geospatial Negara (NGDC).

 

 

Dengan adanya NGDC pihak kerajaan akan memiliki satu sumber data geospatial yang lengkap untuk digunakan oleh semua agensi kerajaan.  Di samping itu, pihak MaCGDI juga berhasrat untuk menubuhkan Pusat Data Geospatial Negeri (SGDC) di setiap clearinghouse negeri berasaskan konsep geodatabase yang sama.  Oleh sebab itu, data yang seragam diperlukan dari semua agensi pembekal data bagi memudahkan proses
pembangunan data tersebut.  Adalah diharapkan melalui seminar dan bengkel seperti ini, semua agensi pembekal data dapat memberikan kerjasama untuk menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan NGDC dan SGDC dapat dicapai bagi kepentingan bersama.  Justeru itu, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dari agensi pembekal data akan pasti dapat memberi sumbangan yang besar bagi merealisasikan hasrat menjadikan kerajaan ini ’ a geospatial enabled’.

 

 

Yang Berhormat Dato’,

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

 

Sebelum akhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Terengganu kerana sudi meluangkan masa serta memberi sokongan kepada usaha MaCGDI dalam menjayakan penggunaan data geospatial di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri.

 

 

Sekian.

 

 

Wabillahitaufik Walhidayah

Wassalamualaikum

Waraohmatullahi Wabarakatuh

 

Copyright © 2008

 

Valid XHTML 1.1