Majlis Perasmian Jeti Pulau Perhentian, Terengganu

Kategori: 2008, Ucapan Ketua Setiausaha

Oleh :Y. Bhg. Datuk Suboh Mohd Yassin
Tempat :
Jeti Pulau Perhentian, Terengganu

Tarikh Ucapan :Ahad

 

Yang Dihormati Pengerusi Majlis,

 

Yang Berbahagia Dato’ Haji Azmi Bin Che Mat,

Timbalan Ketua Setiausaha II,

 

Tuan Haji Abdul Jamal Bin Mydin,

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia,

 

Ketua-Ketua Jabatan,

 

Setiausaha Bahagian,

 

Hadirin Sekalian.

 

 

Assalamualaikum w.b.t dan selamat petang.

 

Pendahuluan

Bersyukur ke hadrat ilahi kerana kita berkesempatan bersama menghadiri Majlis Perasmian Jeti Pusat Taman Laut Pulau Perhentian pada hari ini. Saya amat berbesar hati dijemput untuk merasmikan Jeti Pusat Taman Laut Pulau Perhentian  yang baru ini.

 

 

Dato’- dato’ dan tuan - tuan sekalian,

 

(Kepentingan Terumbu Karang)

Terumbu karang yang terdapat di perairan negara kita adalah sebahagian daripada kawasan segitiga terumbu karang yang merangkumi seluas 4000 km, dan 85% terdapat di Sabah dan Sarawak.

Dianggarkan lebih 367 spesies karang keras di Semenanjung  dan 550 spesies di Sabah dan Sarawak.

 

Terumbu karang menyumbang kepada kepentingan ekonomi, ekologikal dan sosial. Terumbu karang merupakan tempat pembiakan, pemakanan dan pembesaran untuk kebanyakkan ikan komersial. Di Malaysia terdapat lebih daripada 30% ikan yang ditangkap bergantung kepada terumbu karang. Dengan terdapatnya aktiviti konservasi terumbu karang kita secara langsung dapat membantu dan menyokong sektor perikanan negara, menjaga kelangsungan komuniti nelayan dan memastikan bekalan protein berkekalan.

 

Lebih dari itu, terumbu karang memainkan peranan penting dalam melindungi persisiran pantai dari ancaman hakisan ombak dan ribut. Terumbu karang yang sihat berperanan sebagai pemecah ombak semulajadi, diantara 70-90% tenaga ombak akan diserap atau terhempas bila memecah terumbu karang. Dengan memulihara terumbu karang yang sihat ia dapat melindungi persisiran pantai dari kenaikan paras air laut kesan dari pemanasan global.

 

Dato’- dato’ dan tuan - tuan sekalian,

 (Pulau Perhentian)

 

Pulau Perhentian merupakan salah sebuah pusat taman laut yang berada di bawah kawalselia Jabatan Taman Laut Malaysia, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar. 

 

Pulau ini merupakan antara kawasan tumpuan pelancong saban tahun di mana dianggarkan purata 50,000 orang pelancong dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke sini.

 

Taman Laut Pulau Perhentian terkenal dengan biodiversiti flora dan fauna marin. Sehingga kini, terdapat 105 spesies karang keras dan 127 spesies ikan karang yang telah direkodkan di kawasan taman laut ini.

 

Menyedari betapa pentingnya warisan alam ini perlu dipulihara dan dijaga, Jabatan Taman Laut Malaysia perlulah menyediakan platform pengurusan dan pengawalseliaan yang lebih efisien dan cekap.

 

Pembinaan jeti ini, dengan rekabentuk yang lebih kukuh dan selesa, pastinya memudahkan pihak jabatan menjalankan program-program pengawalseliaan dengan lebih kerap dan cekap. Jeti ini tidak harus dipandang sebagai kemudahan fizikal sahaja, di mana sebenarnya di dasar laut, struktur jeti ini turut menjadi antara kawasan habitat pertumbuhan karang fauna dan flora marin yang lain. Selain itu jeti ini juga menjadi tempat dan tarikan pelancong untuk menjalankan aktiviti rekreasi seperti snorkeling, menyelam skuba dan tempat beristirehat.

 

Dato’- Dato’ dan tuan- tuan sekalian,

 

Besarlah harapan  kiranya jeti pusat taman laut ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak terlibat dalam usaha memaju dan memulihara ekosistem marin di Pulau Perhentian dalam memastikan kelangsungan  kepada generasi akan datang.

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Jeti Pusat Taman Laut Pulau Perhentian, Terengganu.

Copyright © 2008

 

Valid XHTML 1.1