Y. Bhg. Dr. Sundari Ramakrishna,
Pengarah, Wetlands International-Malaysia
Wakil YDP, Majlis Perbandaran Petaling Jaya
Tuan-tuan & Puan-puan yang dihormati,
Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera
Saya berasa amat gembira pada pagi ini kerana berpeluang untuk merasmikan Hari Tanah Lembap Sedunia peringkat Kebangsaan bersama anda semua di Taman Tasik Kelana Jaya.
Seperti mana tuan/puan sedia maklum, Malaysia merupakan salah sebuah negara Parti kepada Konvensyen Ramsar Malaysia. Pada masa ini, Malaysia telah mempunyai lima kawasan yang telah disenaraikan sebagai Tapak Ramsar di bawah dalam Konvensyen Ramsar iaitu Tasik Bera di Pahang, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Sungai Kulai –ketiga-tiga di Johor dan Taman Negara Tanah Lembap Kuching di Sarawak. Ramsar merupakan satu daerah di Iran di mana Persidangan Konvensyen Tanah Lembap yang pertama telah diadakan pada 1971. Bersempena dengan itu, setiap 2 Februari telah diisytiharkan sebagai Hari Tanah Lembap Sedunia.
Tanah lembap dengan kepelbagaian biologinya yang tinggi memberikan pelbagai perkhidmatan ekosistem seperti sumber makanan, bekalan air, perlindungan daripada ribut, pengawal banjir, pengawal hakisan, penuras air dan penstabil cuaca tempatan. Salah satu ekosistem tanah lembap ialah ekosistem hutan bakau di mana ia bukan sahaja membekalkan sumber makanan sama ada untuk kepada hidupan laut, burung dan manusia tetapi juga merupakan tempat pembiakan dan pembesaran beberapa spesies ikan, ketam dan udang. Tanah lembap juga membekalkan faedah-faedah ekonomi yang amat besar seperti perikanan, pertanian, penghasilan kayu balak, sumber tenaga, sumber hidupan liar, pengangkutan, rekreasi serta peluang-peluang pelancongan.
Tema sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2006 adalah “Tanah Lembap dan Air – sumber penyokong kehidupan, sumber mata pencarian yang mapan”.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Alam sekitar merupakan satu khazanah yang dikurniakan kepada kita, merupakan amanah dari pencipta untuk kita sama-sama memulihara dan menggunakannya secara lestari. Amanah ini merupakan satu tanggungjawab yang berat dan harus dipikul bersama selaras dengan pepatah Melayu “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Kita juga bertanggungjawab kepada generasi akan datang terhadap alam sekitar dan penggunaan sumber aslinya supaya peluang mereka untuk terus menikmatinya tidak terjejas. Perhubungan antara wetland, air dan kehidupan telah banyak dipaparkan di Malaysia.
Ingin saya maklumkan kepada semua, ini adalah kali pertama Kementerian dengan kerjasama Wetlands International dan MPPJ melangsungkan Hari Tanah Lembap Sedunia. Kami berharap sambutan ini dapat dijadikan acara tahunan. Pihak kementerian amat menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak untuk menjayakan perayaan ini. Terutamanya, Wetlands International dan MPPJ yang mengusahakan perayaan ini dengan sokongan dari pihak penaja: Asiaprima Resources Sdn Bhd, Nestle (Malaysia) Berhad serta sokongan dari Perbadanan Putrajaya, Global Environment Centre, Persatuan Komuniti Friends of Kelana Jaya Park and Persatuan Memancing Malaysia.
Tasik-tasik di Taman Tasik Kelana Jaya adalah bekas kolam lombong yang telah diubahsuai menjadi kolam takungan air dan taman awam. Selain dari nilai estetik landskapnya yang indah, tasik-tasik ini juga menyediakan banyak faedah kepada kita. Mereka berfungsi sebagai penakung air berlebihan semasa hujan lebat maka dapat mengelak kejadian banjir di kawasan ini dan mereka merupakan tempat untuk orang ramai menjalankan aktiviti rekreasi atau riadah.
Selain daripada itu, mereka juga dipilih sebagai tapak penting untuk memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan wetland melalui aktiviti kesedaran dan pendidikan alam sekitar yang melibatkan kanak-kanak sekolah dan orang awam.
Penglibatan MPPJ, JPS, Indah Water Konsortium, Alam Flora, persatuan-persatuan komuniti dan NGO dalam program Pemulihan Tasik Kelana Jaya perlu diberi pengiktirafan. Projek ini adalah satu komponen penting di bawah program Local Agenda 21 Petaling Jaya oleh MPPJ. Di bawah program ini, objektif utamanya ialah untuk memperbaiki kualiti air dalam tasik untuk nilai estetik dan mempertingkatkan kepelbagaian biologinya sebagai habitat hidupan liar.
Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuk pengurangan dan penyekatan punca bahan pencemar dari disalurkan ke dalam tasik ini sama ada dari kawasan perumahan di SS5 dan kawasan perdagangan di SS6, serta juga kerja penyingkiran ikan eksotik atau alien spesies dari tasik ini. Kerja gotong-royong membersihkan kawasan tasik telah banyak kali dijalankan.
Projek ini telah mendapat kejayaan yang menggalakkan. Kualiti alam sekitar di taman tasik ini telah meningkat, walaupun usaha lebih giat untuk memperbaiki mutu air perlu disambungkan dengan bantuan semua. Penanaman tumbuhan rawang atau tumbuhan wetland adalah satu kaedah yang mungkin boleh digunakan, di mana tumbuhan ini dapat menyerap dan menolong dalam proses penyingkiran bahan kotoran terutamanya bahan nutrien dan kimia. Penglibatan penduduk kawasan ini dalam pemulihan wetland merupakan satu kejayaan besar di mana persatuan Friends of Kelana Jaya Park telah dimulakan pada Oktober 2003.
Kepada semua pemuliharaan wetland, pencinta alam, pendidik dan rakan kongsi sektor swasta dan kerajaan, komitmen dan dedikasi anda semua kepada usaha pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar perlu dicontohi terutamanya di zaman pembangunan pesat ini agar dunia kekal terpulihara dan untuk memastikan generasi akan datang dapat mewarisi bumi yang sihat dan indah.
Saya amat bangga dengan usaha-usaha yang dijalankan oleh Syarikat BP, Badan-Badan Bukan Kerajaan serta agensi-agensi Kerajaan yang telah bekerjasama untuk menganjurkan bengkel ini yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam memulihara kepelbagaian biologi selaras dengan strategi-strategi yang diutarakan dalam Dasar Kepelbagaian Biologi. Smart partnership yang terjalin ini di antara agensi Kerajaan, sektor swasta dan Badan Bukan Kerajaan dapat dijadikan contoh kepada Syarikat MultiNational (MNC) yang lain. Dengan penganjuran Bengkel Pengurusan Kepelbagaian Biologi Malaysia – Untuk Kesejahteraan Masa Depan, kesedaran golongan pelajar yang merupakan bakal pemimpin negara kita dan para pengajar dalam usaha-usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi negara dapat dipertingkatkan lagi.
Semoga anda semua seronok mengikuti program hari ini dan dapat mengambil balik sedikit pengajaran dari pengalaman anda di sini.
Sekian terima kasih.