Majlis Perasmian Pusat Pengujian Asap JAS Negeri Perak

Tempat: Pusat Pengujian Asap, Mukim Teja, Daerah Kinta, Perak
Tarikh Ucapan: 07/10/2010
Tahun: 2010
Kategori: Ucapan Menteri
Oleh: YB Dato Sri Douglas Uggah Embas

UCAPAN PERASMIAN
 
MAJLIS PERASMIAN PUSAT PENGUJIAN ASAP KENDERAAN JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI PERAK
 
DI ATAS LOT 2055 DAN 2056, MUKIM TEJA,
DAERAH KINTA, PERAK
7 OKTOBER 2010
OLEH
Y.B. DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS
MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
 
 
Saudari Pengerusi Majlis,
 
Yang Berhormat
Dato Dr. Mah Hang Soon
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan, Dan Hal Ehwal Bukan Islam
 
Yang Berbahagia
Dato’ Zoal Azha Bin Yusof
Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
 
Yang Berusaha
Dato’ Hajah Rosnani Binti Ibarahim
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar
 
Yang Berusaha
Tuan Haji Abu Hasan bin Mohd Isa
Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak
 
Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
 
Tan Sri, Dato’- Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
 
 
Selamat pagi dan salam Satu Malaysia. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia, kerana menjemput saya untuk hadir sama serta merasmikan majlis pada pagi ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah sudi melapangkan masa untuk bersama-sama berada di tapak projek ini bagi menjayakan Majlis Perasmian pada pagi ini. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekelian, Pusat Pengujian Asap Kenderaan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak ini adalah merupakan Pusat Pengujian Asap Kenderaan yang pertama dibangunkan di dalam negara ini. Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak yang telah memberikan kerjasama yang begitu baik sebagai agensi pelaksana dalam membantu JAS menjayakan projek ini seperti yang dijadualkan. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak kontraktor yang telah dilantik iaitu Power Chain Construction Sdn. Bhd. atas kerjasama yang telah diberikan untuk menyiapkan projek ini.
 
Tan Sri, Dato’-Dato’ , Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
 
Manusia memerlukan kualiti udara yang bersih untuk kesihatan dan kesejahteraan hidup. Kita boleh hidup tanpa makanan dalam tempoh melebihi dua minggu, dan tanpa air untuk tempoh beberapa hari tetapi tidak boleh hidup tanpa udara dalam tempoh melebihi empat minit kerana ini akan mengakibatkan kerosakan yang serius kepada otak manusia. Oleh itu, bilangan hari dengan tahap kualiti udara yang sihat dalam setahun telah dipilih sebagai satu daripada MKPI. Ini adalah bagi memastikan orang ramai dapat menikmati kualiti udara yang bersih sepanjang tahun.
 
Kawalan pelepasan asap hitam berlebihan dari ekzos kenderaan bermotor merupakan salah satu tindakan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar yang telah dipilih sebagai satu daripada MKPI Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Sasaran yang telah ditetapkan untuk tahun ini adalah sekurang-kurangnya 100,000 buah kenderaan bermotor diperiksa. Sehingga31 Ogos 2010 sebanyak 164,886 buah kenderaan bermotor telah diperiksa di mana dari jumlah tersebut sebanyak2,382 buah kenderaan telah dikompaun dan sebanyak 321 buah kenderaan telah dikenakan perintah larangan beroperasi yang di keluarkan oleh JAS kerana tidak mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pada keseluruhannya, peratus pematuhanpelepasan asap hitamoleh kenderaan bermotor adalah 98.6 %;
 
Sepertimana kita semua sedia maklum bilangan kenderaan di negara kita semakin meningkat pada tahap purata 10% setiap tahun. Jumlah kenderaan yang kian meningkat ini perlu dikawal dari aspek pelepasan pencemar dari ekzos kenderaan bagi menjaga dan mengekalkan kualiti udara supaya sentiasa pada status kualiti udara yang sihat.
 
Oleh itu, adalah amat penting bagi pemandu atau tuan punya kenderaan serta pengusaha-pengusaha kenderaan perdagangan (fleet operators) sama ada kenderaan diesel mahupun petrol mempastikan semua kenderaan mereka diservis dengan sempurna dan mengikut jadual penyelenggaraan yang ditetapkan. Penyelenggaraan yang berjadual hendaklah dilaksanakan supaya kenderaan tidak melepaskan gas-gas pencemar dan asap hitam yang berlebihan.
 
Tan Sri, Dato’-Dato’ , Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
 
Tujuan utama Pusat Pengujian Asap Kenderaan ini dibangunkan adalah bagi menyediakan kemudahan bersepadu bagi pemeriksaan pelepasan asap kenderaan diesel dan petrol serta pemeriksaan bunyi bising motorsikal.
 
Disamping itu Pusat ini juga menyediakan tempat penstoran dan penyimpanan sementara bahan bukti kes-kes mahkamah termasuklah kenderaan yang disita yang dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar.
 
Tan Sri, Dato’-Dato’ , Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
 
Projek pembinaan Pusat Pengujian Asap Kenderaan di sini merupakan Projek Pertama yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah peruntukan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Projek ini telah dimulakan pada 17 Disember 2008 dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 14 Februari 2010 dengan kos keseluruhan lebih kurang RM 7.3 juta.
Projek yang sama juga telah dilaksanakan dalam RMK9 ini iaitu dalam peringkat akhir pembinaan di Mukim Taboh Naning, Daerah Alor Gajah, Melaka yang dijangka akan dapat disiapkan pada pertengahan bulan ini.
 
Jabatan Alam Sekitar sedar tentang kesulitan yang dihadapi oleh pemilik kenderaan yang perlu melakukan ujian semula pelepasan asap dan gas dari kenderaan mereka yang mana pada masakini dilaksanakan di lokasi-lokasi yang tidak tetap seperti di kawasan-kawasan tanah lapang, tapak letak kereta awam dan sebagainya. Oleh itu, di bawah RMK10 Jabatan Alam Sekitar bercadang untuk meneruskan projek ini di setiap negeri di seluruh negara.
 
Tan Sri, Dato’-Dato’ , Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
 
Adalah diharapkan dengan pelaksanaan projek ini akan dapat meningkatkan kecekapan pegawai-pegawai JAS dalam menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dan bunyi bising kenderaan bermotor dan juga masalah penstoran sementara bahan bukti kes-kes mahkamah yang di dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar dapat diatasi. Dengan itu secara langsung akan meningkatkan lagi produktiviti kerja pegawai-pegawai JAS bagi mencapai aspirasi perkhidmatan awam ke arah pelanggan didahulukan dan pencapaian diutamakan.
 
Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
Dengan adanya kemudahan ini, saya juga berharap ianya dapat mempertingkatkan lagi kesedaran orang ramai khususnya pemandu dan tuan punya kenderaan tentang tanggungjawab mereka untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam sekitar dengan menyelenggara kenderaan masing-masing dengan baik sepanjang masa.
 
“PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR, TANGGUNGJAWAB     BERSAMA” 
 
Akhir sekali, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Perasmian Pusat Pengujian Asap Kenderaan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak.
 
Sekian.
 
Terima kasih.