Pelancaran Rakan Alam Sekitar Parlimen Paya Besar

Tempat: Dewan Semai bakti, Felda Sungai Panching Selatan, Kuantan, Pahang
Tarikh Ucapan: 14/11/2009
Tahun: 2009
Kategori: Ucapan Timbalan Menteri
Oleh: Y.B. Tan Sri Joseph Kurup


UCAPAN PERASMIAN
 YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH KURUP
TIMBALAN MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN RAKAN ALAM SEKITAR (RAS)
PERINGKAT PARLIMEN PAYA BESAR
SABTU, 14 NOVEMBER 2009
DI  DEWAN SEMAI BAKTI

FELDA SUNGAI PANCHING SELATAN, KUANTAN.
 
 
Terima kasih, Tuan Pengerusi Majlis
 
Yang Berhormat Dato’ Hoh Khai Mun
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK)
bagi Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri Pahang.
 
Yang Berhormat Dato’ Abdul Manan Bin Ismail
Ahli Parlimen Paya Besar
 
Yang Berhormat Dato’ Haji Md Sohaimi Bin Haji Mohamed Shah
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing
 
Yang Berhormat Tuan Zaili Bin Besar
Ahli Dewan Undangan Negeri Panching
Yang Berhormat Tuan Mohamad Shohaimi Bin Jusoh
Ahli Dewan Undangan Negeri Lepar
 
Yang Berusaha Dr. Ahmad Kamarulnajuib Bin Che Ibrahim
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang
 
Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
 
Rakan-rakan dari Media
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
 
 
Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,
 
Terlebih dahulu saya ucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Abdul Manan Bin Ismail, Ahli Parlimen Paya Besar, kerana telah sudi menjemput bagi merasmikan Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar Peringkat Parlimen Paya Besar pagi ini. Terima kasih juga kepada Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang hadir bagi menjayakan program ini yang jelas menunjukkan keprihatinan dan komitmen kepada usaha-usaha memulihara alam sekitar kita.
 
Dato’-Dato’,Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
Tujuan asas program Rakan Alam Sekitar (RAS) ini adalah untuk menyemarakkan semangat serta kesedara bahawa pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar negara merupakan tanggungjawab kita bersama.   
 
Bagi pihak Kerajaan, kita telah menggubal pelbagai dasar, perundangan termasuk peraturan-peraturan bagi meningkatkan tadbir urus alam sekitar di negara ini. Namun, sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bilangan anggota penguatkuasa masih belum mencukupi, dan saya rasa tidak akan mencukupi, bagi menangani setiap kejadian pencemaran atau kesalahan yang berlaku di negara ini. Ini kerana, di samping kekangan dari segi kewangan dan sumber manusia, pelbagai aktiviti manusia juga terus meningkat itu.
 
Menyedari hakikat ini, sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita juga telah dan sedang melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran alam sekitar yang lain. Bagaimanapun, adalah didapati masih ada kumpulan sasar yang belum dapat dijangkau oleh program-program berkenaan. Sehubungan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengorak langkah dengan memperkenalkan program Rakan Alam Sekitar (RAS) sebagai usaha berterusan dalam membangunkan kesedaran tersebut dengan menggerakkan semua anggota masyarakat dalam aktiviti-aktiviti pemuliharaan alam sekitar di setiap kawasan Parlimen.
 
Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, program RAS ini merupakan cetusan idea Yang Berhormat Dato’ Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar, dan ianya telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 28 November 2008. Susulan itu, Majlis Pelancaran Program RAS Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 5 Jun 2009 di Muar, Johor dan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia. 
 
Dato’-Dato’,Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
Rakan Alam Sekitar merupakan satu program yang direkabentuk supaya mempunyai unsur-unsur pemantauan, pelaksanaan dan maklumbalas keberkesanan aktiviti-aktiviti alam sekitar yang dilaksanakan.  Unsur yang paling penting adalah penglibatan secara langsung (hands-on) oleh anggota masyarakat bagi membantu agensi-agensi kerajaan membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar. 
 
Bagi merancang dan melaksanakan semua aktiviti Program Rakan Alam Sekitar dengan lancar, Jawatankuasa RAS Peringkat Parlimen ditubuhkan dan dipengerusikan sendiri oleh Ahli Parlimen Kawasan berkenaan. Jawatankuasa ini diurusetia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah manakala ahli-ahlinya Jawatankuasanya terdiri dari wakil Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Penduduk Tempatan dan juga individu-individu lain yang dirasakan sesuai oleh Yang Berhormat Pengerusinya. Jawatankuasa RAS akan antara lainnya berperanan sebagai ‘Mata dan Telinga’ bagi melaporkan masalah atau maklumat mengenai pencemaran mahupun kerosakan alam sekitar kepada agensi-agensi kerajaan bertanggungjawab supaya tindakan pembetulan, pencegahan atau punitif dapat dibuat dengan lebih pantas dan berkesan.
 
Kejayaan kita dalam usaha memulihara alam sekitar memerlukan kerjasama bersepadu daripada setiap lapisan mesyarakat.  Justeru, adalah menjadi harapan saya supaya tumpuan berterusan diberi kepada usaha-usaha meningkatkan lagi kesedaran dan komitmen orang ramai bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang berteraskan pembangunan lestari atau “sustainable development”, khususnya di kalangan generasi muda yang bakal mewarisi alam sekitar negara.
 
Yang Berhormat Dato’- Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
 
Negeri Pahang adalah sebuah negeri yang kaya dengan khazanah alam yang tidak ternilai. Dari kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser dan Genting Highlands ke Taman Negara serta Taman Negeri yang beratus juta tahun usianya, hinggalah ke Taman Lautnya yang juga diakui antara tercantik didunia, setiap satunya perlu dijaga dan dipelihara kerana ia memainkan peranan penting dari segi keseimbangan ekosistem.
 
Akhir kata, sebelum mengakhiri ucapan saya ini, saya sekali lagi merakamkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat pada pagi ini dan sukacitanyasaya merasmikan‘PROGRAM RAKAN ALAM SEKITAR PERINGKAT PARLIMEN PAYA BESAR, PAHANG’.
 
Sekian, terima kasih.