PERHIMPUNAN BULANAN NRE

Tempat: Dewan Baiduri NRE
Tarikh Ucapan: 08/02/2012
Tahun: 2012
Kategori: Ucapan Timbalan Menteri
Oleh: YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH KURUP

Yang Berbahagia Dato’ Zoal Azha bin Yusof,

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar;
 
Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha;
 
Yang Berbahagia Dato’-Dato’  Ketua-Ketua Pengarah;
 
Tuan-tuan dan Puan-Puan para hadirin sekalian
 
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
 
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada urus setia yang telah sudi memberi peluang kepada saya untuk hadir dan memberi sepatah dua kata di perhimpunan NRE pada pagi ini.
 
2. Sudah sebulan kita melangkah ke tahun 2012 dan seperti yang kita semua sedia maklum, tahun 2012 adalah merupakan satu tahun yang penting di mana banyak agenda di dalam pembangunan negara serta aktiviti-aktiviti yang melibatkan NRE perlu dilaksanakan pada tahun ini.
 
3. Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada semua pihak sama ada di peringkat Bahagian di NRE mahupun di peringkat Jabatan sudah seharusnya mempunyai pelan perancangan aktiviti-aktiviti yang perlu dijalankan pada tahun ini. Bagi memastikan setiap Bahagian dan Jabatan di bawah NRE bergerak selaras dengan pelan perancangan strategik NRE, kita semua akan mengadakan retreat pada pertengahan bulan ini. Ini bagi membolehkan agar semua pihak dapat membentangkan pelan perancangan strategik masing-masing dan yang paling penting adalah bagi memastikan bahawa semuanya adalah selaras demi mencapai Misi, Visi dan Objektif Kementerian.
 
Hadirin yang dihormati sekalian
 
4. Kerajaan telah banyak melakukan program-program yang tidak lain dan tidak bukan adalah bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan. Ini adalah penting agar rakyat yang di mana kita juga adalah merupakan sebahagian daripadanya mendapat perkhidmatan yang terbaik, cekap dan memuaskan. Usaha murni yang dilaksanakan oleh Kerajaan ini tidak akan mencapai matlamatnya jika kita tidak bersama-sama berusaha untuk melaksana dan menjayakannya.
 
5. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan khususnya kepada yang berbahagia Dato’ Zoal Azha bin Yusof Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia diatas kejayaan NRE mendapat tempat pertama diantara kementerian-kementerian dan mencapai prestasi yang paling baik iaitu 97.4% dalam prestasi pengurusan kewangan 2010 mengikut laporan ketua audit negara 2010 yang telah dikeluarkan baru-baru ini. Di atas pencapaian tersebut NRE telah mendapat pengiktirafan dengan memperolehi sijil anugerah kecemerlangan pengurusan kawangan 2010.  Manakala pada tahun 2012 penilaian Indeks Akauntabiliti sedang di nilai oleh Jabatan Audit Negara bermula pada 11 januari 2012, kerjasama dan komitmen semua pihak yang  terlibat perlu dipertingkatkan bagi memastikan NRE terus mengekalkan kecermerlangan dalam penarafan 4 bintang. Manakala untuk tahun ini persediaan awal perlu dilaksanakan dalam merealisasikan hasrat kementerian ini kearah menuju pencapaian penamatan 5 bintang.
 
6. Saya juga telah difahamkan kementerian telah mencapai KPI yang telah ditetapkan dan saya mgucapkan tahniah diatas pencapaian tersebut.  Namun demikian ianya masih boleh dibaiki untuk pencapaian yang amat terbaik. Oleh yang demikian komitmen semua pegawai dan kakitangan adalah diharapkan untuk merealisasi kan pencapaian ini.
 
7.  Program-program NKRA, KPI, GTP dan sebagainya adalah di antara usaha-usaha yang dijalankan oleh Kerajaan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan di samping memastikan negara berada di landasan yang betul ke arah mencapai Negara Maju menjelang Tahun 2020 nanti. Sehubungan dengan itu marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi memastikan segala usaha murni kerajaan itu mencapai matlamat  pelaksanaannya.
 
Hadirin yang dihormati sekalian
 
8.  Selain daripada melaksanakan program-program bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, kerajaan juga turut prihatin dan mengambil berat mengenai bebanan yang dihadapi oleh rakyat terutamanya dalam menghadapi kenaikan harga barang yang seterusnya mengecilkan lagi kuasa membeli rakyat. Kenaikan harga barang ini bukan sahaja dialami di negara kita bahkan ia turut melanda di seluruh dunia. Oleh itu, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh rakyat. Antara langkah-langkah tersebut ialah Pemberian Bantuan sebanyak RM100.00 seorang bagi anak-anak memulakan persekolahan mereka, Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), Pengenalan Kedai 1 Malaysia dengan jualan barangan pada harga patut dan sebagainya. Kerajaan akan terus berusaha agar bebanan yang ditanggung oleh rakyat dapat dikurangkan demi kesejahteraan mereka. 
 
Hadirin yang dihormati sekalian
 
9.    Di peringkat NRE pula, kita juga terlibat dalam aktiviti-aktiviti bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. Langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui agensi-agensinya telah memastikan rakyat tidak terbeban akibat berlakunya kejadian bencana alam seperti banjir yang bukan sahaja boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda bahkan ia juga boleh menjejaskan aktiviti kehidupan seharian rakyat yang terbabit dengan banjir yang akhirnya turut menjejaskan ekonomi sesebuah negara. Ini dapat kita lihat seperti yang apa yang telah terjadi kepada negara jiran kita pada tahun lalu.
 
10.  Memang tidak dinafikan bahawa kejadian banjir adalah merupakan bencana alam yang tidak dapat dielakkan namun berdasarkan daripada kemampuan Kerajaan yang memerintah, kesan tersebut dapat dikurangkan dengan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara yang sememangnya melibatkan perbelanjaan yang amat tinggi. Langkah bijak kerajaan telah membantu rakyat daripada menderita akibat kemusnahan harta benda dan sebagainya.
 
11.  Ini bermakna isu-isu tahun 2011 yang telah banyak dibangkitkan di Dewan rakyat dan Dewan negara seperti isu banjir,  isu-isu perhilitan haruslah dipercepatkan tindakan bagi mengatasi isu tersebut. 
 
Hadirin yang dihormati sekalian
 
12.  Saya juga amat berbangga apabila Malaysia mencatat kedudukan terbaik dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) apabila diiktiraf sebagai negara ketiga terbaik di rantau Asia Pasifik dan 25 terbaik daripada 132 negara seluruh dunia.
 
13.  Pada tahun 2010, EPI Malaysia berada pada kedudukan 54 di kalangan 163 negara seluruh dunia dan keenam di rantau Asia Pasifik. Antara aspek yang dinilai adalah perubahan iklim, pertanian, perikanan, perhutanan, pencemaran air dan pencemaran udara yang memberi kesan kepada hidupan. Di rantau Asia Pasifik, New Zealand berada di tempat teratas, diikuti Jepun sebelum Malaysia. Manakala pada peringkat dunia, EPI Malaysia berada setaraf dalam kumpulan negara berprestasi EPI terbaik setanding Jerman, Iceland, Finland, Denmark, Belgium dan Jepun. Penanda aras EPI itu memberi imej baru kepada negara. Kajian penanda aras penunjuk dan polisi pelestarian alam sekitar dunia itu telah dilakukan kumpulan penyelidik Universiti Yale dan Universiti Colombia, Amerika Syarikat dengan kerjasama Suruhanjaya Eropah dan Forum Ekonomi Dunia bagi menilai pelestarian sesebuah negara melalui dua objektif utama iaitu kesejahteraan alam sekitar dan kesan pencemaran terhadap kesejahteraan hidup manusia. Berdasarkan petunjuk dikeluarkan, prestasi Malaysia berada pada kedudukan amat baik daripada segi kesan udara kepada kesihatan manusia iaitu 97.3 peratus, pertanian (95 peratus) dan biodiversiti serta habitat (90.1 peratus).
 
Hadirin yang dihormati sekalian,
 
14.  Tahun 2012 merupakan tahun yang sibuk bagi kita di NRE kerana pada tahun ini Kementerian kita telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan bagi mengetuai penyertaan Malaysia di Ekspo Antarabangsa di Yeosu, Korea Selatan. Malaysia akan mempunyai pavilionnya yang tersendiri di ekspo antarabangsa tersebut yang akan berlangsung selama tiga bulan yang bertemakan The Living Ocean and Coast. Ekspo Yeosu ini diharapkan akan dapat memberikan peluang bagi meningkatkan masyarakat antarabangsa akan mengenali Malaysia dengan lebih dekat lagi serta akan menarik pelancong asing ke negara kita.  Ini juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada kementerian ini untuk menganjurkan ekspo sedemikian.
 
15.  Suka juga saya mengingatkan bahawa menjelang tahun 2014 nanti, kita mempunyai baki kira-kira dua tahun sahaja lagi sebelum tamatnya Kempen Menanam 26 Juta Pokok yang telah dilancarkan oleh NRE pada tahun 2010. Harapan kita ialah agar objektif kempen tersebut dapat dicapai dan yang paling penting ialah manfaat yang kita perolehi daripada pelaksanaan kempen tersebut kepada masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia amnya.
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian.
 
16.  Tanggal 2 Februari setiap tahun adalah merupakan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia atau World Wetlands Day. Ia merupakan sebagai tarikh penerimaan Konvensyen Tanah Lembap pada 2 Februari 1971 yang telah berlangsung di Ramsar, sebuah bandar di Iran. Ia mula di sambut pada tahun 1997 dan semenjak itu, agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan sekumpulan masyarakat di pelbagai peringkat telah mengambil inisiatif bagi meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan Tanah Lembap dan Konvenyen di Ramsar yang telah diadakan itu. Pada tahun ini, tema Sambutan Hari tanah Lembap Sedunia adalah: Tanah Lembap dan Pelancongan atau Wetlands and Tourism. Ianya adalah berkaitan dengan tema Persidangan Conference of the Parties, COP11: bertemakan Tanah Lembap, Pelancongan dan Rekreasi atau Wetlands, Tourism and Recreation yang bakal diadakan pada bulan Julai 2012, di  Bucharest, Romania.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian.

17.  Di sini saya ingin menyeru agar kita semua tidak kira sama ada di peringkat Kementerian mahupun di Jabatan, marilah kita sama-sama meningkatkan mutu perkhidmatan kita selaras dengan hasrat kerajaan yang memerintah. Kerjasama yang sedia ada haruslah sentiasa dipertingkatkan sama ada kerjasama di antara Kementerian dengan Jabatan malah kerjasama dengan pihak-pihak lain, seperti pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGOs) dan juga pertubuhan.

18.  Selain daripada itu sekiranya dapat difikirkan kaedah bagi memberi nilai tambah atau added value terhadap aktiviti-aktiviti yang sedang dijalankan seperti program-program Rakan Alam Sekitar, Program 1Negeri 1Sungai, Kempen Menanam 26 Juta Pokok dan sebagainya perlulah dijalankan agar ia dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat umum terhadap objektif kempen tersebut di adakan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang telah sudi melapangkan masa hadir di majlis perhimpunan NRE pada pagi ini.
 
Sekian terima kasih.