Majlis Perasmian Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia

Tempat: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Tg. Malim, Perak
Tarikh Ucapan: 06/04/2011
Tahun: 2011
Kategori: Ucapan Timbalan Menteri
Oleh: YB. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup

 

Ucapan
YB. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup
Majlis Perasmian Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia 2011
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
Tg. Malim, Perak
8.00 mlm, 6 April 2011
 
 Yang Berbahagia Profesor  Dato’ Dr Aminah Ayob
Naib Canselor
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Yang Berbahagia Profesor Dr. Shaharudin  Abdul Aziz
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Mustaffa bin Ahmad
Dekan Fakulti Sains & Matematik
 
Yang Berusaha Dr. Husni bin Ibrahim
Penasihat Kelab Rakan Alam Sekitar
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Cik Nor Fatihah binti Md Nor
Pengarah Program
Karnival Alam Sekitar 1Malaysia 2011 (KALAM’11)
 
Encik Muhammad Asyraf Zuraimi
Presiden Kelab Rakan Alam Sekitar
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Ahli Jawatankuasa Kerja Karnival Alam Sekitar
 
Pensyarah dan pegawai-pegawai universiti
 
Para pelajar, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
 
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia 
Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur majlis kerana telah sudi menjemput saya merasmikan Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia 2011 (KALAM 11’) ini.
 Saya difahamkan ini kali pertama pihak penganjur iaitu Kelab Rakan Alam Sekitar mengadakan acara seperti ini yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada seluruh warga UPSI, pelajar sekolah dan masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Ini merupakan suatu niat yang begitu baik sekali kerana dalam kita sama-sama sibuk mengejar matlamat atau sasaran hidup masing-masing, faktor alam sekitar seolah-olah sering diketepikan. Justeru, saya berasa gembira kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan bagi menunjukkan sokongan kerajaan dalam inisiatif seumpama ini. 
Saya juga mengucapkan syabas kepada dif-dif jemputan dan hadirin sekalian yang telah melapangkan masa untuk menghadiri majlis pada malam yang berbahagia ini. Sesungguhnya sokongan tuan-tuan dan puan-puan memberikan semangat kepada para siswa dan siswi di sini agar terus komited dalam isu penjagaan alam sekitar.
Adalah menjadi harapan saya agar usaha seumpama ini dapat diteruskan malah diperluaskan masa akan datang. 
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kita sebenarnya sangat bertuah kerana negara kita Malaysia dianugerahkan dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan sumber asli yang unik lagi tidak ternilai. Dalam pada itu, kita juga boleh dikatakan terlindung dari bencana-bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi dan tsunami. Tidak seperti banyak negara lain yang kerap dilanda malapetaka sebegini. Walapun apa yang berlaku ini bolehlah dikatakan sebagai kuasa Tuhan namun, kita haruslah mengambil iktibar dengan mengsyukuri apa yang kita ada ini dengan cara sentiasa memastikan alam sekitar mahupun segala flora dan fauna kita terpelihara dengan baik. 
Kita perlu sedar bahawa masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan secara haram, dan sebagainya menyebabkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Akibatnya timbul implikasi terhadap kesihatan dan kualiti hidup kita. Umpamanya pencemaran sungai bukan sahaja boleh mengotorkan pemandangan tetapi juga menjejaskan kehidupan kita yang bergantung kepada sungai sebagai sumber bekalan air. 
Isu-isu alam sekitar, terutama penjagaan kebersihan dan kualiti air,udara, tanah dan sungai merupakan antara cabaran-cabaran alam sekitar yang perlu dihadapi dan ditangani oleh kita semua.  Dalam hubungan ini, pihak kerajaan telah menggubal pelbagai dasar, perundangan termasuk peraturan-peraturan bagi meningkatkan tadbir urus alam sekitar di negara ini.  
Di sinilah tuan-tuan dan puan-puan warga UPSI sekalian boleh membantu kita. Selain menolong memberikan input-input yang berguna kepada pelbagai dasar dan program kerajaan, saya percaya siswa siswi UPSI yang bakal menerajui sektor pendidikan negara boleh membantu menerapkan semangat cintakan alam sekitar dikalangan generasi muda kita di sekolah-sekolah.  
Hadirin sekalian, 
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak pernah memandang ringan isu-isu alam sekitar. Meskipun sering kali dikritik hebat tetapi kita tetap menerima kritikan, pandangan atau teguran yang diberikan. Namun begitu, saya berharap anak-anak muda khususnya warga UPSI supaya janganlah kita terbawa-bawa dengan budaya membangkang semata-mata tanpa alasan yang realistik dan positif. Kerajaan sentiasa terbuka kepada maklum balas dari semua pihak terutamanya kritikan yang membina. 
Seperti yang kita sedia maklum, segala usaha dipihak kerajaan  sahaja tidak mencukupi untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Ia memerlukan kerjasama dan penglibatan seluruh masyarakat. Justeru, saya berharap agar setiap program yang dirancang dalam karnival ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap warga UPSI termasuklah anak-anak sekalian.  
Saya difahamkan pelbagai acara dan aktiviti akan dijalankan sempena karnival ini, seperti pertandingan Kuiz Sejahtera Alam Sekitar, siri ceramah dan wacana, Pertandingan Visi: Duta Kecil Bumi Hijau, pertandingan fotografi, pertandingan memasak (Healthy Food), tayangan gambar dan video, pertandingan pidato dan lain-lain yang membabitkan hampir semua peringkat masyarakat termasuk kanak-kanak tadika. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada pihak penganjur.
Tuan-tuan dan puan-puan, 
 
Sebelum mengakhiri ucapan ini, oleh sebab kebanyakan anda di sini merupakan bakal-bakal guru yang akan mendidik generasi muda Malaysia; didiklah mereka dengan didikan yang ikhlas dari hati. Sesungguhnya khidmat dan bakti saudara-saudari sekalian amatlah tinggi nilainya. Jagalah imej guru yang sememangnya sejak dahulu lagi sentiasa mendapat tempat yang istimewa dikalangan masyarakat. Tanpa guru, siapalah kita semua pada hari ini. 
 
Akhir kata, saya yakin karnival ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat dan supaya ia menjadi contoh yang baik kepada institusi-institusi lain. Semoga manfaat yang diperolehi kelak dapat dipraktikkan menjadi amalan hidup yang lestari demi masa depan bumi ini. 
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia 2011, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. 
Sekian, terima kasih.