TEKS UCAPAN Y.B. DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS, MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR, SEMPENA MAJLIS PENGIKTIRAFAN JPS@KOMUNITI

Tempat: JPS AMPANG
Tarikh Ucapan: 12/05/2011
Tahun: 2011
Kategori: Ucapan Menteri
Oleh: Y.B. DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS

 

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis
 
Yang Berbahagia Dr. Che Ab. Rahim bin Nik
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar)
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
 
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Nordin Bin Hamdan
Timbalan Ketua Pengarah I (Sektor Bisnes) JPS Malaysia
 
Y. Bhg. Dato’ Ir. K.J. Abraham,
Timbalan Ketua Pengarah II (Sektor Pakar ) JPS Malaysia
 
Y. Bhg. Dato’ Ir. Lim Chow Hock
Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan) JPS Malaysia
 
Pengarah-pengarah Bahagian dan Pengarah-pengarah Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah
 
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
 
Selamat Pagi dan Salam Satu Malaysia
 
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) di atas kesudian menjemput saya untuk merasmikan Majlis Pengiktirafan jps@komuniti pada hari ini.
 
Saya juga mengalu-alukan kehadiran Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian ke majlis ini yang secara langsung menunjukkan kepekaan dan minat Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan terhadap bagi mencapai 7 objektif jps@komuniti yang telah disebut oleh Ketua Pengarah JPS sebentar tadi.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Seperti yang kita sedia maklum, JPS berperanan sebagai salah satu Jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang berkaitan langsung dengan pengurusan sumber air. Usaha ini dilihat sangat kritikal dalam menjayakan matlamat Kerajaan untuk mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020. Kerajaan telah menggariskan langkah-langkah proaktif seperti Government Transformation Programme (GTP) melalui NATIONAL KEY RESULT AREAS (NKRA) yang telah ditetapkan sebagai asas infrastruktur sosial yang kuat untuk mencapai status tersebut. Sehubungan itu sebagai salah sebuah organisasi penting di bawah NRE, JPS perlu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan sepertimana pendekatan jps@komuniti yang mengutamakan prestasi, kualiti , kompetensi dan kepuasan pelanggan.
 
Pendekatan jps@komuniti perlu dijadikan landasan bagi persediaan menghadapi cabaran-cabaran mega akan datang. Strategi-strategi semasa perlu diberikan nafas baru dengan komitmen yang lebih menyeluruh. Para pelanggan menuntut perkhidmatan yang lebih baik, cepat dan lebih efektif. Kaedah sedia ada melalui perancangan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai (IRBM) dilihat masih belum menghasilkan impak keseluruhan yang diingini bagi mencapai status sungai yang bersih, hidup dan berkualiti.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Untuk mencapai kemajuan, setiap organisasi di bawah NRE perlu bersedia untuk mengharungi dan mengadaptasi dengan setiap perubahan dengan tidak hanya berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian lama.
 
Kita juga perlu beralih daripada budaya output dan perbelanjaan kepada mementingkan aspek outcome atau impak keberhasilan secara holistik.  Untuk mencapai matlamat di atas, anjakan paradigma perlu ada pada setiap warga JPS.
 
Contohnya dalam menangani isu banjir perhatian harus diberi kepada soal kejayaan menyeluruh manfaat yang dinikmati oleh penduduk terlibat termasuk aspek sosio ekomoni mereka tetapi bukan dari segi perbelanjaan atau bilangan projek yang telah disiapkan. Begitu juga dalam menangani isu pencemaran sungai, tumpuan bukan kepada bilangan projek pemulihan sungai seperti pemasangan Gross Pollutan Trap (GPT) tetapi berapa bilangan sungai yang dapat dipulihkan kualiti airnya.
 
Dalam hal ini, untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, kita memerlukan organisasi yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. “We do not need mere seat warmers, we need actual doers”. JPS perlu seiring dengan perubahan semasa dan norma kerja perlu mengikut kehendak semasa dan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi meningkatkan Delivery System JPS.  Tambahan pula dengan kemudahan GIS (Geographical Information System) dan perkembangan dalam bidang teknologi khususnya ICT dan kemudahan perkhidmatan secara online.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Sesungguhnya JPS berkeupayaan dalam menjayakan hasrat ini kerana JPS mempunyai kesinambungan pentadbiran yang mantap diperingkat Negeri dan Daerah di seluruh Malaysia dengan warga kerja yang mencapai hampir 10,000 orang meliputi 141 Daerah di seluruh Negara.
 
Untuk mengekalkan status JPS sebagai organisasi bertaraf dunia, Y. Bhg. Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan perlu sentiasa mempunyai wawasan yang jelas, berkomunikasi baik dengan warganya, mempunyai nilai integriti yang tinggi ikutan, sangat passionate dalam setiap perkara yang dilakukan, berfikiran kreatif, , sangat agresif tetapi sentiasa merendah diri, dapat menghadapi stress dengan baik dan sentiasa melihat ke hadapan. Saya percaya pendekatan jps@komuniti adalah pendekatan terbaik dalam mengekalkan momentum tersebut.
 
Warga JPS hendaklah juga mengamalkan pendekatan quality at source. Kualiti perlu dimulakan di peringkat permulaan sesuatu proses kerja dan dikekalkan sehingga ke peringkat touchpoint dengan pelanggan. Setiap warga perlu merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap mereka untuk menjaga aspek kualiti di setiap peringkat kerja. Penghasilan produk yang tinggi kualitinya adalah jalan pintas (shortcut) untuk menjadi organisasi unggul. Saya percaya Y. Bhg. Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan telahpun mengamalkannya.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Selain daripada pihak pengurusan dan warga di dalamnya, aspek JPS sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia juga perlu dilihat oleh pelanggannya sendiri. Elemen utama adalah modal insannya. Organisasi-organisasi yang bertaraf dunia sentiasa bangga dengan warganya. Mutu modal insan selalunya menjadi petunjuk prestasi utama status penarafannya. Oleh yang demikian, JPS perlu menghasilkan dan mengekalkan bakat-bakat sedia ada di samping menjadi majikan pilihan utama para-para graduan di IPTA dan IPTS. Saya percaya persekitaran kerja bertaraf dunia yang kondusif telah menghasilkan warga JPS yang bekerja bukan semata-mata untuk ganjaran tetapi juga untuk kemajuan kerjaya dan pengiktirafan di dalam profesionnya.
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Cabaran untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan dan kelestarian alam sekitar daripada aspek pengurusan sumber air semakin kompleks dengan fenomena perubahan iklim. Cabaran-cabaran ini sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada warga JPS untuk membuktikan keunggulan baik di peringkat nasional mahupun global. Fenomena bencana alam sememangnya sejagat akan tetapi dengan elemen-elemen pemikiran bertaraf dunia yang sememangnya ada di JPS akan menjanjikan kepada kami, stakeholder dan pelanggan, penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif yang bukan hanya menjadi kebanggaan negara dan boleh dicontohi oleh negara luar.
 
Saya melihat Hari Pengiktirafan jps@komuniti ini sebagai satu titik tolak dalam melonjakkan perkhidmatan JPS yang lebih baik di semua peringkat dengan sokongan yang mantap dari segenap lapisan kakitangannya. Mungkin pendekatan seumpama ini boleh dicontohi oleh agensi-agensi yang lain.Saya percaya dengan kualiti kepimpinan yang ada, sikap warga yang positif dan persekitaran kerja yang kondusif dalam pendekatan jps@komuniti wawasan JPS sebagai antara organisasi sektor awam terunggul di peringkat global dapat dikekalkan.
 
Akhir kata saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pengiktirafan jps@komuniti pada pagi ini.  Sekian. Terima kasih.