Masalah penyeludupan hidupan liar


Kategori:Dewan Rakyat
Pertanyaan :Lisan
Persidangan : Mesyuarat ke 3 , Penggal 2 , Parlimen 12
Daripada :YB Tuan Manogaran a/l Marimuthu
[] [Telok Intan ]
Parti :Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Tarikh :19-Oct-2009
Nombor Soalan :17
Soalan :
Tuan Manogaran a/l Marimuthu [ Telok Intan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan:- (a) Malaysia dilaporkan menjadi pusat untuk penyeludupan hidupan liar berbagai jenis dan mengapa Kerajaan gagal untuk mengatasi masalah ini; dan (b) apakah tindakan Kerajaan terhadap Perhilitan yang memberi permit khas kepada seorang yang bernama Wong Kheng Liang ( No. K/P: 580616-07-5021) telah untuk mengimport/eksport hidupan liar semasa beliau menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat dan Pengarah Jabatan Perhilitan Pulau Pinang antara tahun 2001 dan 2004.

Jawapan
Tuan Yang Dipertua, (a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pandangan bahawa Malaysia merupakan pusat penyeludupan hidupan liar seperti yang dilaporkan adalah tidak benar. Penyeludupan hidupan liar merupakan masalah sejagat dan tidak terhad kepada Malaysia sahaja. Memandangkan rantau ASEAN kaya dengan sumber biodiversiti, maka ini menyebabkan terdapat percubaan untuk menyeludup hidupan liar dari negara-negara ASEAN termasuk Malaysia. Namun begitu, sejak dahulu Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha gigih untuk menangani masalah penyeludupan hidupan liar. Dari semasa ke semasa, pihak Jabatan PERHILITAN meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar daripada berlaku secara berleluasa. Di antara usaha-usaha yang telah dibuat termasuk: (i) memperkukuhkan skuad penguatkuasaan Jabatan PERHILITAN untuk menjalankan risikan dan penguatkuasaan; (ii) mengwujudkan 14 pos kawalan di pintu keluar/masuk negara dan; (iii) meningkatkan kerjasama penguatkuasaan hidupan liar dengan agensi-agensi berkaitan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Unit Pencegahan Penyeludupan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Hasil daripada usaha-usaha tersebut, Kerajaan telah berjaya mematahkan sebahagian dari cubaan menyeludup hidupan liar. Ini dapat dibuktikan melalui kes-kes yang berjaya dikesan dan diambil tindakan oleh Jabatan PERHILITAN. Dari tahun 2001 sehingga bulan September 2009, Jabatan PERHILITAN telah berjaya memperolehi 294 kes melibatkan penyeludupan dan 386 kes melibatkan pemburuan hidupan liar. Selain itu, bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama membanteras penyeludupan hidupan liar, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan PERHILITAN, telah menganggotai ASEAN Wildlife Enforcement Network (ASEAN-WEN) sejak penubuhannya pada tahun 2005. Di bawah ASEAN-WEN, kerjasama yang baik dengan agensi hidupan liar ASEAN diwujudkan bagi mempertingkatkan aktiviti pertukaran maklumat risikan, mesyuarat dua hala dan capacity building dalam penyiasatan, penangkapan dan pendakwaan. (b) Jabatan PERHILITAN tidak mengeluarkan Permit Khas bagi menjalankan aktiviti mengimport atau mengeksport hidupan liar kepada Encik Wong Kheng Liang (No.K/P: 580616-07-5021) sepanjang dia menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat dari tahun 2001 hingga 2004. Sekian, terima kasih.

Term Life Insurance
Trackback from Term Life Insurance on 03 Jun 2010 01:22