Skip Ribbon Commands Skip to main content
Bahasa Melayu | English | Bahasa Lain Besarkan Saiz Teks Saiz Teks Asal Kecilkan Saiz Teks Teks Biru Teks Hijau Teks Merah Tukar Kontras ke Cerah Tukar Kontras ke Asal Tukar Kontras ke Gelap Tema Oren Tema Hijau Portal Asal Tanda Halaman Ini

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

 Dengar Teks

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) merupakan satu pusat yang unik di Malaysia di mana peranan utamanya adalah untuk menangkap dan memindahkan gajah-gajah liar yang habitatnya telah diterokai oleh pembangunan. Gajah liar ini akan ditempatkan semula ke kawasan-kawasan perlindungan seperti Taman Negara. Sejak 30 tahun yang lalu, pusat ini telah berjaya memindahkan lebih daripada 700 ekor gajah liar. Proses pemindahan ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan spesies ini serta kerosakan harta benda dan kawasan pertanian.

 

Selain daripada berfungsi sebagai ibu pejabat untuk Unit Gajah, pusat ini juga merupakan tempat perlindungan bagi gajah denak dan gajah liar yang memerlukan rawatan. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di Malaysia. Selain itu, pusat konservasi ini menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula dan konservasi gajah.

 

Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan bagi konservasi hidupan liar dan habitatnya. Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari berkaitan penangkapan dan pemindahan gajah liar yang dirakamkan dengan kerjasama krew National Geographic. Selain itu, program khas boleh disediakan untuk rombongan sekolah. Untuk program pelawat, sila merujuk kepada Jadual Aktiviti Pelawat di bahagian selanjutnya.


Gajah di Pusat Konservasi


Pusat ini mempunyai beberapa ekor gajah yang telah dilatih dan digunakan bagi operasi pemindahan gajah-gajah liar dari kawasan-kawasan bermasalah di seluruh Semenanjung Malaysia. Pusat ini juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh kumpulan dan ibu mereka untuk memastikan anak-anak gajah ini terus hidup.


Gajah Asia


Gajah Asia kini dikategorikan sebagai spesies yang kian terancam dengan anggaran yang kurang daripada 1,200 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia. Melindungi gajah Asia secara langsungnya membantu melindungi ribuan jenis spesies lain yang terdapat dalam lingkungan habitat gajah tersebut. Gajah membuka denai-denai dan menumbangkan pohon-pohon yang menjadi sumber makanan semula jadi yang sangat diperlukan untuk haiwan yang lebih kecil umpama jentolak semula jadi, serta menyebarkan biji-bijian di dalam najisnya. Walau bagaimanapun disebabkan oleh pengecilan habitat, gajah kini terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir hutan yang telah bertukar rupa menjadi kawasan perladangan dan penempatan manusia. Pencerobohan ini menyebabkan berlakunya konflik dan kerugian pihak terbabit. Jika gajah tersebut tidak dipindahkan dengan segera, mereka mungkin akan mati sama ada ditembak atau diracun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Jadual Aktiviti Pelawat

Pelawat digalakkan menyertai aktiviti di PKGK yang akan bermula dari jam 10.30 pagi.

Aktiviti
10.30 pagi – 12.00 tengahari
MEMERHATI KUMPULAN ANAK GAJAH DI KAWASAN TRAIL INTERPRETASI:
Pelawat berpeluang memerhati kehidupan anak gajah yang dilepaskan secara bebas dalam kawasan keliaran yang dipagari dengan pagar elektrik.
1.00 & 1.30 petang
MENONTON TAYANGAN VIDEO
Menonton dokumentari proses menyelamatkan gajah liar dari kawasan konflik ke habitat baru oleh Jabatan Perhilitan.
2.15 petang
GAJAH MANDI DAN DIBERSIHKAN OLEH MAHOUT
Pelawat boleh melihat gajah dewasa dan anak gajah dimandi dan dibersihkan oleh mahout serta sambil diberikan penerangan oleh kakitangan bertugas.
2.45 -3.15 petang
PENERANGAN KONSERVASI GAJAH DI PENTAS INTERPRETASI
Pelawat akan diperkenalkan kepada setiap gajah yang menjalankan aktiviti konservasi, sejarah dan kebolehan asas mereka. Penonton dan gajah dipisahkan oleh penghadang dengan jarak kira-kira 8 meter bagi menjaga keselamatan.
Aktiviti ini juga diadakan bagi membiasakan gajah dengan orang ramai untuk menjadikan mereka sebagai gajah yang dapat membantu program pemindahan gajah liar pada masa hadapan.
Nota: Pusat ini tidak menyediakan program tunggangan gajah untuk hiburan.

Selain dari aktiviti di atas, para pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat Pemandu Pelancong Alam Semulajadi untuk menjelajah trail interpretasi sambil memerhati gajah dalam hutan semulajadi serta lain-lain flora dan fauna yang menarik di hutan hujan tropika.

Tayangan Video


Pelawat digalakkan menonton filem dokumentari mengenai program pemindahan gajah liar dari kawasan konflik ke habitat baru.



Sabtu, Ahad dan Kelepasan Am
Tayangan 1-1.00 pm
Tayangan 2-1.30 pm
Tayangan 3-2.00 pm (Hari Jumaat sahaja)
Tayangan 1-12.30 pm
Tayangan 2-1.00 pm
Tayangan 3-1.30 pm


Perjalanan ke PKGK, Kuala Gandah


Pusat ini terletak 15km daripada pekan Lanchang, daerah Temerloh, Pahang dan pelawat boleh memandu dengan selesa ke PKGK di Kuala Gandah. tempat parkir juga disediakan bagi para pelawat.

Sebelum mengunjungi pusat ini, anda digalakkan menelefon, menghantar surat atau membuat tempahan melalui sistem E-Tempahan di laman sesawang kami . Ini adalah untuk memudahkan urusan pendaftaran dan lawatan serta untuk mengetahui sama ada pusat kami boleh menampung lawatan anda terutamanya jika anda disertai oleh rombongan yang besar.

Kami amat mengalu-alukan kedatangan anda semua. Semoga anda semua ceria dan gembira di atas kunjungan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan .

Pendaftaran masuk dan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab adalah diwajibkan. Wakil kumpulan bersama senarai nama dan nombor kad pengenalan adalah memadai. Pelawat yang telah mendaftar akan diberikan pas masuk berwarna merah. Dalam masa terdekat, pendaftaran masuk akan menggunakan sistem E-Tempahan, oleh itu bakal pengunjung digalakkan membuat tempahan awal bagi mengelakkan kesesakkan semasa mendaftar masuk ke Pusat ini.

Sokongan dan Sumbangan Anda Diperlukan


Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dibiayai oleh Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia. Berbagai usaha dijalankan secara berterusan untuk mempertingkatkan kemudahan sedia ada samaada untuk penyelidikan dan pembangunan atau untuk pelawat ke pusat ini. Jabatan PERHILITAN berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan pusat ini sebagai pusat latihan dan konservasi gajah yang terkenal di rantau ini. Apa jua jenis bantuan dan sokongan amat dihargai.

Jabatan PERHILITAN telah menubuhkan Tabung Amanah Gajah bagi membolehkan sumbangan ditabungkan. Segala pertanyaan boleh dimajukan kepada kakitangan pusat atau diposkan kepada:

 
Ketua
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah
Jabatan PERHILITAN
Kuala Gandah, 28500 Lanchang
Pahang Darul Makmur, Malaysia
Tel: 09-279 0391
Faks: 09-279 0398


Waktu Pejabat:
Hari
Masa
Isnin – Ahad
8.00 pagi - 1.00 tengahari
2.30 petang - 4.30 petang
Jumaat
8.00 pagi - 12.30 tengahari
2.30 petang - 4.30 petang


Peringatan:

Jabatan PERHILITAN ingin menjelaskan bahawa maklumat di laman web selain dari www.wildlife.gov.my seperti www.myelephants.org, http://elephantsanctuarymalaysia.blogspot.com, www.viator.com/kl-elephants dan sebagainya tiada sebarang kaitan dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Jabatan PERHILITAN adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala pengurusan gajah di Semenanjung Malaysia dan tidak menerima sebarang kutipan wang daripada orang awam melalui akaun bank pihak ketiga.  Sekiranya terdapat sebarang nombor akaun untuk tujuan derma atau tabung bantuan gajah yang diwujudkan, ianya adalah atas usaha mereka sendiri tanpa pembabitan dan pengetahuan Jabatan PERHILITAN.

Muat turun Peta Lokasi


  
http://www.wildlife.gov.my/pusat-konservasi-gajah-kebangsaan-kuala-gandah-pahang.html

 

Cetak halaman ini
 

Portal Rasmi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar