Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Sign In
Home
Januari 03
PERUTUSAN TAHUN BARU 2012 YB MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

PERUTUSAN TAHUN BARU 2012

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 kepada seluruh warga NRE serta Jabatan dan Agensi di bawahnya. Tahun 2011 telah pun meninggalkan kita dan kini kita berada di ambang tahun baru 2012. Sesungguhnya kita sebagai rakyat Malaysia amat bertuah kerana sepanjang tahun lepas negara yang kita cintai ini bukan sahaja aman dengan rakyat berbilang bangsa hidup bersatupadu dan harmoni, bahkan ekonomi negara juga terus berada di landasan yang betul menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga NRE dan semua jabatan/agensinya atas usaha dan komitmen sepanjang tahun 2011 yang telah membantu NRE memperolehi pelbagai kejayaan. Semoga komitmen ini diteruskan pada tahun 2012 dengan tumpuan diberi kepada merealisasikan visi Kementerian iaitu, "Menerajui Pengurusan Sumber Asli dan Pemuliharaan Alam Sekitar secara Berkekalan".

Dalam usaha untuk mencapai hasrat tersebut, perkara pertama yang perlu diberi perhatian serius ialah berkenaan persepsi rakyat terhadap peranan NRE terutama dalam aspek penguatkuasaan. Walaupun kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menguatkuasakan pelbagai undang-undang dan peraturan, namun persepsi awam ialah bahawa agensi-agensi NRE yang terlibat dalam penguatkuasaan adalah tidak efisyen. Antara punca persepsi negatif ini ialah berlakunya peristiwa-peristiwa yang tidak diingini dan laporan di media masa serta aduan-aduan melalui emel mengenai isu-isu di bawah bidangkuasa Kementerian. Justeru kita perlu merangka satu strategi untuk menyakinkan rakyat bahawa kita sentiasa ikhlas dan jujur serta berintegriti tinggi dalam menjalankan tugas kita.

Perkara kedua ialah pembangunan pangkalan data yang sistematik dan berkesan di setiap jabatan dan agensi NRE yang juga harus diberi keutamaan. Data yang tepat dan terkini yang meliputi semua fungsi NRE adalah amat penting untuk membantu membuat keputusan yang berkesan dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program dan projek kita. Ia juga adalah penting untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan di semua peringkat.

Akhirnya, masa telah tiba untuk kita menggunakan media baru dengan meluas. Ini adalah ruang untuk berkomunikasi dengan rakyat termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO). Dengan cara ini kita berpeluang untuk menjelaskan dasar dan program serta isu-isu yang menyentuh bidangkuasa NRE. Pendekatan ini juga membolehkan kita untuk mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak berkepentingan tentang keberkesanan kita dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.

Saya berharap segala usaha yang akan dijalankan pada tahun 2012 dilaksanakan secara berkesan agar rakyat mendapat manfaat selaras dengan Gagasan 1Malaysia. Pada tahun baru ini, marilah kita semua mempertingkatkan azam kita untuk membawa NRE serta negara kita ke mercu kejayaan yang lebih tinggi. Saya berkeyakinan dengan usaha yang lebih gigih dan disiplin yang tinggi serta dengan berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni, kita akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2012.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012.

DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

Januari 02
PERUTUSAN TAHUN BARU 2012 KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh dan Salam 1NRE kepada semua warga Kementerian, JKPTG, JAS, JTLM dan JBK.
 
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 kepada semua warga NRE dengan doa dan harapan agar kita mendapat suntikan semangat baru dalam meneruskan tugasan yang telah dirancang mahupun yang bakal diberi pada tahun ini.
 
Tahun 2011 yang telah banyak mencatatkan kejayaan kepada NRE seperti pencapaian tempat pertama dalam Penganugerahan Indeks Akauntabiliti, sebagai Kementerian Pertama dianugerahkan Sijil Pengurusan Kualiti di bawah SIRIM International QS ISO dan Kementerian Pertama dipersijilkan dengan Pengurusan Keselamatan IT di bawah SIRIM.
 
Kita juga telah berjaya menganjurkan majlis-majlis seperti Sambutan Hari Air Sedunia, Hari Sungai Sedunia, Hari Hutan Sedunia, Majlis Tanah Negara dan lain-lain lagi.
 
Kejayaan kita juga diukur dengan penghargaan sebagai tuan rumah bagi menganjurkan mesyuarat-mesyuarat pengurusan sumber manusia di peringkat Kebangsaan dan Kerajaan Negeri seperti Mesyuarat Jawatankuasa HRMIS oleh JPA dan Mesyuarat ICT oleh MAMPU.
 
Semua kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa kerjasama dan kerja kuat semua warga NRE yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
 
Pada tahun 2012 ini kita bakal menyaksikan perubahan dalam Perkhidmatan Awam dengan pengenalan kepada Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Sistem ini menuntut agar penjawat awam memberi komitmen yang lebih tinggi dalam tugasan yang diberi dengan berbekalkan inovasi dan kreativiti dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut.
 
Transformasi perkhidmatan awam menuntut perubahan supaya kita berubah daripada membuat tugas - tugas rutin kepada berasaskan pemikiran dan operasi kepada strategik. Ini melibatkan perancangan strategik NRE dalam perkhidmatan teras iaitu membangun dan mengurus sumber-sumber asli dan alam sekitar dan dalam perkhidmatan sokongan meliputi pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengurusan ICT dan pengurusan projek-projek pembangunan.
 
Bagi mencapai wawasan menjadikan Perkhidmatan Awam kita di antara yang terbaik di dunia, kita harus bekerja sebagai satu pasukan dan memecahkan tradisi bekerja secara ‘Silo’ seiring dengan Gagasan 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Selaras dengan Government Transformation Program (GTP) dalam memperkasakan sumber manusia sektor awam, NRE juga tidak ketinggalan merancang dan merangka pengurusan sumber manusia yang mantap, termasuk membentuk budaya kerja berprestasi tinggi. Saya berkeyakinan matlamat membangun dan memperkasakan sumber manusia di NRE dapat dilaksanakan melalui pelan perancangan yang rapi termasuk melalui pelan pengukuhan integriti sedia ada dengan memberi nilai tambah yang sewajarnya.
 
Pelan ini juga akan berasaskan kepada meningkatkan ciri-ciri kecekapan, pemikiran kreatif, berinovasi dan kebolehan mencipta di kalangan warga NRE. Saya yakin dengan pengenalan kepada prinsip-prinsip SBPA, NRE juga dapat melahirkan warga kerja cemerlang melalui beberapa pelan perancangan yang akan dirangka seperti PROSPEK yang akan menggantikan PTK.
 
Umum mengetahui bahawa pada tahun 2011, kita dikejutkan dengan pelbagai penemuan Audit Negara merentasi pelbagai Kementerian/Jabatan dan Agensi Kerajaan yang memaparkan tadbir urus kewangan negara yang berkait rapat dengan integriti penjawat awam. Sehubungan dengan ini, marilah kita menjadikan ini sebagai satu ‘Lesson Learnt’ bagi membaiki kesilapan mentafsir Peraturan dan 3 Garis Panduan sedia ada di samping meningkatkan amalan baik, nilai dan etika sebagai penjawat awam.
 
Oleh kerana ‘Business is not as Usual’, maka saya mengharapkan semua warga NRE agar sentiasalah bersiap siaga untuk berhadapan dengan apa jua situasi yang dijangkakan atau di luar jangkaan kita. Walau bagaimanapun, dalam usaha kita meningkatkan kualiti kerja tersebut, kita tidak harus lupa mencapai konsep ‘Work Life Balance’ iaitu tanggungjawab yang seimbang terhadap kerja, keluarga dan diri sendiri. Ini adalah sangat penting untuk dititikberatkan supaya kualiti hidup dapat dinikmati oleh kita semua. Penganjuran program-program seperti PERWARIS, aktiviti NRE Goes Green, Program Pasukan Wataniah NRE, Kumpulan Pengurus Muda (KPM), Simfoni Seni NRE dan sebagainya adalah aktiviti-aktiviti yang seharusnya mendapat sokongan daripada semua pihak yang mampu membentuk tahap kerohanian dan jasmani yang baik di kalangan warga NRE.
 
Tahun 2012 bakal memperlihatkan Penarafan Penilaian Bintang oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri akan dilaksanakan pada bulan Jun 2012 nanti. Harapan saya ialah agar pasukan NRE dapat membuat perancangan dan persiapan awal dari segi mengemas kini maklumat, pematuhan kepada keperluan penarafan penilaian tersebut, penyediaan dokumen-dokumen dibuat awal agar tiada berlaku kegawatan sekiranya ia dilakukan di saat-saat akhir. Di samping itu, harapan saya ialah agar segala pencapaian yang telah dicapai pada tahun 2011 hendaklah dikekalkan ataupun diperbaiki kedudukannya pada tahun 2012.
 
Justeru, sempena dengan kehadiran tahun 2012, marilah kita menegakkan tekad kita untuk berusaha dengan lebih gigih lagi, mempertingkatkan lagi kerjasama antara bahagian-bahagian di NRE dengan Jabatan-Jabatan agar Misi, Visi, Objektif Kementerian dapat dicapai dan kewujudan NRE serta jabatan di bawahnya terus relevan pada masa-masa akan datang.
 
Semoga semua warga NRE sekalian sentiasa dipelihara kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah S.W.T dan seterusnya dapat melaksanakan tugas-tugas yang mendatang dengan penuh ketenangan, Insyaallah.
 
Akhir kata marilah kita sama-sama berkongsi pepatah berikut dalam menghadapi tahun 2012 ini, ‘Bulat Air kerana Pembentung, Berkat Manusia kerana Muafakat’.
 
Selamat Menyambut Tahun Baru 2012.
 
DATO’ ZOAL AZHA BIN YUSOF
Ogos 10
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN NRE

TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT
DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS
MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

DI MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN NRE
PADA 2 OGOS 2011
DI DEWAN BAIDURI

 
Terima kasih pengacara majlis.
Yang Berbahagia Dato’ Zoal Azha bin Yusof
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Yang Berbahagia Datuk Aziyah binti Mohammed
Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli)
Yang Berbahagia Dr. Abdul Rahim bin Nik
Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar)
Yang Berbahagia Dato-Dato’ Ketua-Ketua Pengarah;
Setiausaha-setiausaha Bahagian,
Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati,

Salam Sejahtera , Salam 1Malaysia dan Salam 1NRE,
Selamat Pagi,  Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
 
1.   Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak urus setia yang telah sudi menjemput saya hadir dan seterusnya memberikan ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan NRE pada pagi ini. Saya juga amat gembira melihat kehadiran YBhg. Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan sekalian ke Majlis Perhimpunan ini yang mencerminkan keprihatinan dan komitmen kepada tuntutan tugas dan tanggungjawab kita dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
 
2.     Perhimpunan bulanan kali ini amat bermakna dan istimewa atas tiga sebab. Pertama, ia jatuh pada bulan Ramadhan yang merupakan bulan yang amat mulia dan murni untuk masyarakat Islam di seluruh dunia. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan Selamat Menunaikan Ibadat Puasa kepada seluruh warga NRE yang beragama Islam.
 
3.     Yang kedua, pada 31 Ogos 2011, kita akan menyambut Hari Kemerdekaan. Sebagai satu aktiviti ke arah sambutan Hari Merdeka tahun ini,  YAB Perdana Menteri kita telah merasmikan pelancaran Kibar Jalur Gemilang  di Sentral Kuala pada 27 haribulan Julai yang lepas. Elok kita renungkan dan amalkan seruan beliau dalam ucapan perasmian seperti berikut:
 
“Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik, warna kulit, kaum serta agama perlu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 dengan semangat yang luar biasa, kerana negara ini masih lagi berdepan dengan ancaman luar”.
Di Majlis tersebut, YAB Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia supaya kibarkan Jalur Gemilang dengan semangat perjuangan. Ini ialah kerana dalam Jalur Gemilang terkandung empat tonggak utama yang mewakili empat jalur iaitu, perpaduan nasional; nilai sanggup berjuang dan berkorban untuk negara; nilai keharmonian dan keamanan serta nilai jati diri, harga diri dan akal budi. Marilah kita sama-sama menyahut seruan tersebut dengan mengkibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
 
Para hadirin sekalian;
 
4.    Dalam suasana kita menyambut Hari Kemerdekaan dalam bulan Ogos ini, kita tidak boleh lupa akan pengorbanan tokoh-tokoh kemerdekaan kita dan rakyat kita dalam mengecapi erti kemerdekaan. Pada masa ini, kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan dan perubahan ini tidak datang bergolek begitu sahaja. Sebaliknya, ianya hasil perpaduan, perancangan dan komitmen kerajaan bersama rakyat untuk kesejahteraan hidup yang berkekalan.  Oleh yang demikian, kita tidak boleh memberi laluan kepada usaha-usaha sesetengah pihak yang ingin menghuru-harakan negara ini seperti yang telah berlaku di Libya dan Turki baru-baru ini.  Atas sebab itulah kerajaan tidak membenarkan perhimpunan haram yang akan merugikan semua golongan rakyat dari pelbagai aspek. Kita amat arif tentang keadaan negara-negara yang berhadapan dengan elemen perhimpunan haram ini dan kita telah melihat sendiri tahap kemusnahan yang telah dibawa oleh elemen ini. “ A big loss to the nation”. Bayangkanlah apakah akan terjadi sekiranya kita membenarkan demonstrasi jalanan bagi setiap isu yang dihadapi. Kalau Bersih dibenarkan, kumpulan lain yang memperjuangkan isu lain akan membuat tuntutan supaya mereka juga dibenarkan mengadakan demonstrasi. Cara sedemikian untuk membawa perubahan bukan cara yang sihat kerana ia akan merugikan kita semua dan boleh mengancam keharmonian dan perpaduan negara.
 
5.   Kerajaan telah menyediakan pelbagai platform kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat, idea dan luahan hati sebagai pendekatan berorientasikan rakyat iaitu 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan.  Demonstrasi jalanan bukanlah cara untuk menentukan parti mana yang membentuk kerajaan.  Sebagai rakyat di negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan kita mempunyai kebebasan mengundi setiap 5 tahun melalui saluran pilihan raya telus. Dakwaan bahawa proses pilihan raya tidak telus dan korup adalah amat tidak berasas. Bagaimana kita boleh mempunyai 86 ahli parlimen dari pihak pembangkang dan 5 negeri dikuasai oleh pihak pembangkang dalam pilihan raya 2008? . Maka saya merayu kepada warga NRE agar jangan terlibat dengan sebarang perhimpunan haram dan adalah menjadi tanggungjawab anda sebagai penjawat awam untuk menjadi contoh terbaik kepada rakyat Malaysia.
 
Para hadirin sekalian,
 
6. Sebab yang ketiga kenapa perhimpunan bulalan ini adalah istimewa ialah kerana ianya dianjurkan secara usaha sama oleh dua Bahagian dalam NRE iaitu, Bahagian Mineral dan Geosains (BMG) dan Bahagian Air, Saliran dan Hidrologi (BSASH) dengan tema yang khusus, iaitu  “Water: Essence of Life”.  Tujuan pemilihan tema ini adalah untuk mencerminkan fungsi  Pengurusan Air oleh BSASH dan Pengurusan Air Tanah oleh BMG. Saya dapati tema ini amat relevan dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh negara kita dalam aspek pengurusan air bagi pelbagai kegunaan. Selaras dengan tema ini juga, keperluan rakyat untuk mendapatkan bekalan air yang bersih dan mencukupi pada sepanjang masa menjadi keutamaan kerajaan.
 
7.     Kejadian banjir dan kemarau memberi impak terhadap sumber air negara dan ia merupakan satu cabaran besar yang dihadapi oleh negara kita. Kajian saintifik menunjukkan bahawa fenomena perubahan iklim menyumbang kepada kejadian-kejadian banjir dan kemarau yang semakin ekstrim. Walaupun Malaysia dianugerahkan dengan jumlah hujan yang banyak iaitu, pada purata 3000 mm setahun, namun masih kedengaran lagi bahawa bekalan air tidak mencukupi di kawasan-kawasan tertentu disebabkan oleh taburan hujan tidak sekata dan jumlah curahan hujan yang berbeza.
 
8.     Keperluan terhadap bekalan air bersih juga semakin meningkat terutama sekali di kawasan bandar akibat kadar pertambahan penduduk yang semakin ramai yang berhijrah ke bandar, di samping permintaan terhadap bekalan air daripada pelbagai sektor industri.  Pembangunan di kawasan pinggir bandar yang dahulunya berpaya dan dipenuhi hutan telah membawa impak sumber air Sebagai contoh pembinaan kawasan-kawasan perumahan telah menyebabkan sesetengah lembangan sungai di kawasan bandar sudah tidak dapat berfungsi lagi bagi tujuan kitaran sumber air atau hidrologi.
 
9.      Oleh yang demikian, saya ingin menyeru supaya perhatian serius dberi oleh semua pihak yang berkaitan dalam aspek perancangan dan pembangunan yang mapan dalam memastikan sumber air negara sentiasa mencukupi. Selain itu, usaha yang lebih terancang perlu dibuat bagi mencari dan membangunkan sumber air alternatif seperti sumber air tanah (atau groundwater), di samping melaksanakan aktiviti penggunaan semula air (water recycling) dan penuaiaan air hujan serta membina  kolam-kolam takungan. Langkah-langkah ini adalah perlu untuk menampung peningkatan kepada bekalan air di kawasan-kawasan tertentu. Cadangan supaya sumber air tanah dijadikan sumber air alternatif terutamanya di kawasan stressed, di pulau-pulau yang tiada bekalan air paip secara langsung dan kegunaan semasa kecemasan wajar diperluaskan lagi. Sumber air bawah tanah ini terbukti dapat mengurangkan tekanan kebergantungan terhadap sumber air permukaan sebagai punca air untuk bekalan domestik, industri dan pertanian. Oleh itu, pembangunan sumber air tanah negara ini perlu dijalankan secara mapan dan holistik.
 
10.       Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru agar program yang melibatkan rakyat dalam peningkatan pendidikan, latihan dan kesedaran tentang sumber air perlu juga melibatkan kerjasama daripada sektor awam dan korporat. Sebagai contoh Sambutan Hari Air Sedunia yang telah diadakan pada 12 Mac 2011 yang lalu di Pekan, Pahang boleh dijadikan penandaarasan bagi penganjuran aktiviti gabungan di antara sektor awam dan swasta untuk menjamin pembangunan negara yang bersepadu dan mampan dalam pelbagai aspek demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Dalam pada itu,  saya berharap agar semua pihak memainkan peranan yang sewajarnya dalam memastikan pengurusan sumber air adalah berkekalan dan kelangsungan bekalan air yang berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya turut berharap agar warga NRE dapat menjadi mata dan telinga Kerajaan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan jika didapati berlakunya aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada pencemaran sumber air termasuk pencerobohan kawasan perlindungan air, kawasan konservasi air dan lain-lain. Sumbangan dan penglibatan yang positif, aktif dan proaktif perlu dilakukan secara berterusan demi kesejahteraan generasi masa kini dan generasi akan datang.
 
Y.Bhg.Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian
 
11.   Di kesempatan ini saya juga ingin menyentuh tentang Pelan Strategik NRE.  Saya dimaklumkan bahawa Pelan ini yang telah dibangunkan ini telah mengambil kira payung Teras Misi Nasional Negara, KRA, KPI, Program Nasional dan penghasilan ‘outcome’ supaya ia dapat menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Kepuluh dan Model Ekonomi Baru. Maka, dengan adanya Pelan Strategik ini, saya berharap agar NRE akan lebih menonjol dalam memastikan pembangunan dijalankan secara mapan dan pada masa yang sama tidak mengabaikan usaha-usaha memulihara dan memelihara alam sekitar demi untuk kesejahteraan masyarakat. Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada semua yang terlibat dalam usaha mewujudkan Pelan Strategik NRE Tahun 2011-2015.
 
12. Perkara seterusnya yang ingin saya sentuh ialah mengenai eBMGPermit. Untuk makluman kita semua, Sistem eBMGPermit telah dibangunkan bagi membolehkan segala urusan permohonan permit eksport (AP) mineral dan bahan batuan dilaksanakan secara on-line meliputi Modul Pemohon, Modul JMG; Modul BMG, Modul Kastam dan Modul Pentadbir. Pelaksanaan sistem ini adalah ekoran daripada saranan dari PEMUDAH yang mahu segala urusan yang berkaitan dengan pelanggan dibuat secara atas talian atau on-line untuk memudahkan rakyat berurusan dengan Kerajaan selaras dengan misi Kerajaan yang mahu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.  Tahniah saya ucapkan kepada BMG!
 
13. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Biokeselamatan yang telah menerbitkan Biosafety Questions and Answers Cards yang merangkumi 36 pertanyaan lazim mengenai pengubahsuaian genetik. Tujuannnya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam dan para pelajar sekolah tentang organisma yang diubahsuai secara genetik atau lebih dikenali sebagai Genetically Modified Organism (GMO). Kad-kad ini mengandungi maklumat berkaitan bioteknologi moden, risiko yang mungkin timbul melalui pengubahsuaian secara genetik dan keperluan Akta Biokeselamatan untuk mengawal selia aktiviti-aktiviti bioteknologi moden.
 

14. Saya juga berasa bangga atas inisiatif NRE mewujudkan Taman Hijau di Wisma Sumber Asli yang dinamakan ‘NRE in The Forest’. Ini merupakan landskap semula jadi yang menjadi contoh dalam keseimbangan antara alam semula jadi dan pembangunan yang turut mencerminkan komitmen mewujudkan konsep bangunan hijau yang mesra alam dan manusia. Kejayaan NRE dalam mengusahakan taman ini turut dipaparkan dalam media cetak dan ini merupakan satu usaha dalam mempromosikan Kementerian kita. 

15. Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan juga kepada pihak urus setia yang telah bertungkus-lumus memastikan perjalanan Majlis Perhimpunan pada pagi ini berjalan dengan lancar dan kepada warga NRE yang beragama Islam, Selamat Berpuasa. 

Sekian, terima kasih.

 

Mei 25
MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) DAN ANUGERAH LAMA BERKHIDMAT (ALB) KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR TAHUN 2010

Terima kasih Pengacara Majlis.

 
Yang Berbahagia Dato’ Zoal Azha bin Yusof,
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar;
 
Yang Berbahagia Datuk Aziyah binti Mohamed,
Timbalan Ketua Setiausaha I;
 
Yang Berbahagia Dr Abdul Rahim Bin Nik,
Timbalan Ketua Setiausaha II;
 
Yang Berbahagia Dato’-Dato’ Ketua Pengarah;
 
Setiausaha-Setiausaha dan Pengarah-pengarah Bahagian;
 
Para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Lama Berkhidmat;
 
Tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin sekalian.
 
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia
 
1.   Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah sudi menjemput saya bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Lama Berkhidmat, NRE 2010 pada pagi ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Lama Berkhidmat NRE untuk tahun 2010.
 
Para hadirin sekalian,
 
2.   Anugerah ini merupakan penghargaan Kerajaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tahun 2010. Perkhidmatan yang cemerlang merupakan perkhidmatan yang mana kualitinya adalah melebihi daripada kebiasaan (beyond the ordinary) selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 13 Disember 2007 mengenai kriteria penilaian terhadap prestasi pegawai-pegawai awam.
 
Para hadirin sekalian,
 
3.  Hasrat kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan disokong inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Kementerian (MKPI) telah menampakkan kesan sangat memberangsangkan apabila 92.3 peratus MKPI mencapai sasaran pada 2010. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
 
4.     Sehubungan dengan itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga NRE atas pencapaian kita mencatatkan markah komposit 100 peratus, sekali gus mencerminkan kemajuan cemerlang yang berjaya dicapai sepanjang tahun 2010.  Sebagai mengiktiraf prestasi yang membanggakan ini, YAB Perdana Menteri kita telah memberi saya gred A.
 
 
Para hadirin sekalian,
 
5.    Saya ingin mengambil kesempatan Majlis ini untuk menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan kepada World Competitiveness Yearbook (WCY) 2011 yang dikeluarkan oleh Institute of Management Development (IMD) baru-baru ini. Laporan ini melaporkan kedudukan daya saing mengikut 4 kategori iaitu: global (keseluruhan); saiz penduduk; kekayaan atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita; dan rantau ekonomi.  Menurut laporan ini, Malaysia diletakkan di kedudukan ke-16 bagi prestasi keseluruhan daripada 59 negara manakala kedudukan kita dalam laporan WCY 2010 ialah ke-10.
 
6.     Penurunan daya saing negara tersebut memang membimbangkan kerana Kerajaan telah secara besar-besaran melancarkan pelbagai program seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk membawa Malaysia arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Menurut laporan WCY 2011 tersebut, penurunan 6 anak tangga dalam kedudukan Malaysia adalah dipengaruhi oleh data persepsi terutama faktor kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.
 
7.   Dalam pada itu, jumlah aduan melibatkan kesemua  25 Kementerian  yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri telah meningkat daripada 12,683 pada tahun 2009 kepada 14,700 pada tahun 2010, iaitu peningkatan sebanyak 15.9%. Bagi tempoh 1hb Januari 2011sehingga 22 Mei 2011, sejumlah 3,326 telah diterima termasuk 130 aduan yang diterima oleh NRE.
 

8.   Kemerosoton kedudukan daya saing negara dan peningkatan bilangan aduan menunjukkan betapa pentingnya kita memberi fokus kepada usaha-usaha untuk memenuhi keperluan pelanggan. Pelanggan adalah sentiasa betul (customer is always right). Penghayatan ini adalah penting untuk memastikan kita kekal relevan untuk manfaat semua stakeholders kita. Sebagai Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus alam sekitar dan sumber asli negara, NRE menghadapi pelbagai isu dan cabaran. Isu pokok ialah bagaimana kita boleh mencapai keseimbangan di antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar (sustainable development). Peranan ini amat penting untuk menjamin kepentingan generasi masa kini dan masa akan datang sentiasa terpelihara.

9.  Akan tetapi hasrat mencapai matlamat sustainable development bukan sesuatu yang mudah memandangkan dalam proses mencapainya kita berhadapan dengan tuntutan-tuntutan daripada pelbagai pihak berkepentingan. Kita perlu ingat bahawa constituents kita bukan sahaja terdiri daripada orang awam tetapi juga orang politik, ahli-ahli dewan undangan negeri, ahli-ahli parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan. Selain itu, kita juga mempunyai obligasi terhadap lebih 20 perjanjian dan konvensyen antarabangsa berkaitan dengan alam sekitar.
 
10.   Justeru, cabaran kita ialah bukan sekadar menggubal dasar, strategi dan program yang berkesan tetapi yang lebih penting ialah memastikan sistem penyampaian kita (delivery system) mempunyai keupayaan serta mantap untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua constituents yang saya nyatakan tadi. Walaupun kita telah mencapai beberapa kejayaan sepanjang tahun 2010, namun kita tidak boleh rest on our laurels. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk memastikan segala program dan aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual dan berdasarkan sumber yang sedia ada terutama peruntukan kewangan. Lebih-lebih lagi, tahun 2011 merupakan tahun permulaan bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
 
11.   Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru kepada Y. Bhg. Dato’ Zoal Azha bin Yusof selaku Ketua Setiausaha NRE dan Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha-setiausaha Bahagian dan Pengarah-pengarah Bahagian bersama-sama dengan semua warga NRE supaya bergerak sebagai satu pasukan di bawah semangat 1 NRE bagi memastikan visi dan misi kita tercapai. Dalam hubungan ini, pengurusan NRE juga hendaklah memastikan sokongan dasar (policy support) yang diberikan kepada semua jabatan/agensi NRE adalah berkesan dan mampu membantu mencapai matlamat yang disasarkan. Pada masa yang sama, saya juga ingin menyeru kepada semua Ketua Jabatan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada NRE agar sama-sama kita dapat menjayakan segala dasar dan program demi kepentingan semua pihak.
 
12.  Dalam hubungan ini, setiap warga NRE dan Jabatan/agensi juga hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan komitmen dan dedikasi yang tinggi. Kita perlu mempunyai mindset untuk membawa perubahan dan membentuk agenda bagi memberikan yang terbaik kepada perkhidmatan, iaitu giving our best, right from the beginning. Rakyat, iaitu pelanggan kita menaruh harapan tinggi kepada kita dan memerlukan pegawai-pegawai awam yang boleh berfikir, a thinking public service. Kejayaan kita diukur menerusi penyampaian perkhidmatan yang menepati harapan serta kehendak dan cita rasa pelanggan.
 
13.   Penanda aras muktamad bagi penjawat awam ialah kepuasan hati pelanggan dan rakyat yang berurusan dengan kita. Kalau kita dapat memberikan kepuasan kepada rakyat yang merupakan pelanggan utama kita, maka itulah pencapaian sebenar KPI kita. Semoga dengan usaha-usaha yang dilaksanakan secara berterusan, kita akan memberi tumpuan kepada cara-cara bagaimana NRE boleh menambah kepuasan hati rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan. Seterusnya, rakyat yang berpuas hati akan terus bersama-sama kita.
 
14.   Dalam merealisasikan hasrat ini, kita perlulah membuat lonjakan paradigma di mana pegawai-pegawai awam perlu mengubah cara kerja yang lapuk dan ketinggalan zaman kepada corak kerja yang pantas, tepat, inovatif dan berkesan. Sesuai dengan pepatah yang diungkapkan oleh YAB Perdana Menteri semasa persidangan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPA) baru-baru ini, iaitu:
 
Belum dipanggil sudah datang,
Belum disuruh sudah pergi,
Belum diminta sudah diberi,

Belum ditanya sudah jawab.

Hadirin yang dihormati sekalian,

15.    Saya yakin kita mampu menangani cabaran-cabaran tersebut dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang di masa akan datang. Kita hendaklah terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
 
16.  Sebelum saya akhiri ucapan saya ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Tahun 2010. Semoga anugerah ini dapat menjadi sumber motivasi untuk kita sama-sama memberi perkhidmatan bertaraf dunia atau ‘world class’.
 
Sekian, terima kasih.

 

Mei 12
TEKS UCAPAN Y.B. DATO SRI DOUGLAS UGGAH EMBAS, MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR, SEMPENA MAJLIS PENGIKTIRAFAN JPS@KOMUNITI
 

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis

 
Yang Berbahagia Dr. Che Ab. Rahim bin Nik
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar)
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
 
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Nordin Bin Hamdan
Timbalan Ketua Pengarah I (Sektor Bisnes) JPS Malaysia
 
Y. Bhg. Dato’ Ir. K.J. Abraham,
Timbalan Ketua Pengarah II (Sektor Pakar ) JPS Malaysia
 
Y. Bhg. Dato’ Ir. Lim Chow Hock
Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan) JPS Malaysia
 
Pengarah-pengarah Bahagian dan Pengarah-pengarah Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah
 
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
 
Selamat Pagi dan Salam Satu Malaysia
 
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) di atas kesudian menjemput saya untuk merasmikan Majlis Pengiktirafan jps@komuniti pada hari ini.
 
Saya juga mengalu-alukan kehadiran Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian ke majlis ini yang secara langsung menunjukkan kepekaan dan minat Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan terhadap bagi mencapai 7 objektif jps@komuniti yang telah disebut oleh Ketua Pengarah JPS sebentar tadi.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Seperti yang kita sedia maklum, JPS berperanan sebagai salah satu Jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang berkaitan langsung dengan pengurusan sumber air. Usaha ini dilihat sangat kritikal dalam menjayakan matlamat Kerajaan untuk mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020. Kerajaan telah menggariskan langkah-langkah proaktif seperti Government Transformation Programme (GTP) melalui NATIONAL KEY RESULT AREAS (NKRA) yang telah ditetapkan sebagai asas infrastruktur sosial yang kuat untuk mencapai status tersebut. Sehubungan itu sebagai salah sebuah organisasi penting di bawah NRE, JPS perlu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan sepertimana pendekatan jps@komuniti yang mengutamakan prestasi, kualiti , kompetensi dan kepuasan pelanggan.
 
Pendekatan jps@komuniti perlu dijadikan landasan bagi persediaan menghadapi cabaran-cabaran mega akan datang. Strategi-strategi semasa perlu diberikan nafas baru dengan komitmen yang lebih menyeluruh. Para pelanggan menuntut perkhidmatan yang lebih baik, cepat dan lebih efektif. Kaedah sedia ada melalui perancangan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai (IRBM) dilihat masih belum menghasilkan impak keseluruhan yang diingini bagi mencapai status sungai yang bersih, hidup dan berkualiti.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Untuk mencapai kemajuan, setiap organisasi di bawah NRE perlu bersedia untuk mengharungi dan mengadaptasi dengan setiap perubahan dengan tidak hanya berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian lama.
 
Kita juga perlu beralih daripada budaya output dan perbelanjaan kepada mementingkan aspek outcome atau impak keberhasilan secara holistik.  Untuk mencapai matlamat di atas, anjakan paradigma perlu ada pada setiap warga JPS.
 
Contohnya dalam menangani isu banjir perhatian harus diberi kepada soal kejayaan menyeluruh manfaat yang dinikmati oleh penduduk terlibat termasuk aspek sosio ekomoni mereka tetapi bukan dari segi perbelanjaan atau bilangan projek yang telah disiapkan. Begitu juga dalam menangani isu pencemaran sungai, tumpuan bukan kepada bilangan projek pemulihan sungai seperti pemasangan Gross Pollutan Trap (GPT) tetapi berapa bilangan sungai yang dapat dipulihkan kualiti airnya.
 
Dalam hal ini, untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, kita memerlukan organisasi yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. “We do not need mere seat warmers, we need actual doers”. JPS perlu seiring dengan perubahan semasa dan norma kerja perlu mengikut kehendak semasa dan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi meningkatkan Delivery System JPS.  Tambahan pula dengan kemudahan GIS (Geographical Information System) dan perkembangan dalam bidang teknologi khususnya ICT dan kemudahan perkhidmatan secara online.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Sesungguhnya JPS berkeupayaan dalam menjayakan hasrat ini kerana JPS mempunyai kesinambungan pentadbiran yang mantap diperingkat Negeri dan Daerah di seluruh Malaysia dengan warga kerja yang mencapai hampir 10,000 orang meliputi 141 Daerah di seluruh Negara.
 
Untuk mengekalkan status JPS sebagai organisasi bertaraf dunia, Y. Bhg. Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan perlu sentiasa mempunyai wawasan yang jelas, berkomunikasi baik dengan warganya, mempunyai nilai integriti yang tinggi ikutan, sangat passionate dalam setiap perkara yang dilakukan, berfikiran kreatif, , sangat agresif tetapi sentiasa merendah diri, dapat menghadapi stress dengan baik dan sentiasa melihat ke hadapan. Saya percaya pendekatan jps@komuniti adalah pendekatan terbaik dalam mengekalkan momentum tersebut.
 
Warga JPS hendaklah juga mengamalkan pendekatan quality at source. Kualiti perlu dimulakan di peringkat permulaan sesuatu proses kerja dan dikekalkan sehingga ke peringkat touchpoint dengan pelanggan. Setiap warga perlu merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap mereka untuk menjaga aspek kualiti di setiap peringkat kerja. Penghasilan produk yang tinggi kualitinya adalah jalan pintas (shortcut) untuk menjadi organisasi unggul. Saya percaya Y. Bhg. Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan telahpun mengamalkannya.
 
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Selain daripada pihak pengurusan dan warga di dalamnya, aspek JPS sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia juga perlu dilihat oleh pelanggannya sendiri. Elemen utama adalah modal insannya. Organisasi-organisasi yang bertaraf dunia sentiasa bangga dengan warganya. Mutu modal insan selalunya menjadi petunjuk prestasi utama status penarafannya. Oleh yang demikian, JPS perlu menghasilkan dan mengekalkan bakat-bakat sedia ada di samping menjadi majikan pilihan utama para-para graduan di IPTA dan IPTS. Saya percaya persekitaran kerja bertaraf dunia yang kondusif telah menghasilkan warga JPS yang bekerja bukan semata-mata untuk ganjaran tetapi juga untuk kemajuan kerjaya dan pengiktirafan di dalam profesionnya.
Dato’-Dato’, tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian;
 
Cabaran untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan dan kelestarian alam sekitar daripada aspek pengurusan sumber air semakin kompleks dengan fenomena perubahan iklim. Cabaran-cabaran ini sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada warga JPS untuk membuktikan keunggulan baik di peringkat nasional mahupun global. Fenomena bencana alam sememangnya sejagat akan tetapi dengan elemen-elemen pemikiran bertaraf dunia yang sememangnya ada di JPS akan menjanjikan kepada kami, stakeholder dan pelanggan, penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif yang bukan hanya menjadi kebanggaan negara dan boleh dicontohi oleh negara luar.
 
Saya melihat Hari Pengiktirafan jps@komuniti ini sebagai satu titik tolak dalam melonjakkan perkhidmatan JPS yang lebih baik di semua peringkat dengan sokongan yang mantap dari segenap lapisan kakitangannya. Mungkin pendekatan seumpama ini boleh dicontohi oleh agensi-agensi yang lain.Saya percaya dengan kualiti kepimpinan yang ada, sikap warga yang positif dan persekitaran kerja yang kondusif dalam pendekatan jps@komuniti wawasan JPS sebagai antara organisasi sektor awam terunggul di peringkat global dapat dikekalkan.
 
Akhir kata saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pengiktirafan jps@komuniti pada pagi ini.  Sekian. Terima kasih.

 

 
Mei 10
TEKS UCAPAN Y.B. MENTERI SUMBERI ASLI DAN ALAM SEKITAR SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KAPAL TAMAN LAUT “1 PERMATA”
 
 
TEKS UCAPAN 
Y.B. MENTERI SUMBERI ASLI DAN ALAM SEKITAR
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KAPAL TAMAN LAUT “1 PERMATA"
PUSAT TAMAN LAUT PULAU TIOMAN, PAHANG
9 MEI 2011
 
 
 
Yang Berhormat Dato’ Kapten Bersara Haji Mohd Johari bin Haji Hussain
Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman,
 
Yang Berbahagia Dato’ Zoal Azha bin Yusof
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,
 
Yang Berbahagia Datuk Aziyah binti Mohamed
Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli),
 
Yang Berusaha Dr. Sukarno Wagiman
Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia,
 
Yang Berusaha Encik Mohd Nor Hidon
Penghulu Pulau Tioman,
 
Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan,
 
Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri,
 
Setiausaha-Setiausaha Bahagian,
 
Ketua-Ketua Kampung,
 
Datuk-Datuk, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
 
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada petang ini untuk memeriahkan Majlis Perasmian Kapal Taman Laut 1 PERMATA  Jabatan Taman Laut Malaysia. Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Jabatan Taman Laut Malaysia yang menjemput saya untuk menyempurnakan majlis pada petang ini.
 
Malaysia adalah di antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia yang kaya dengan sumber asli dan kepelbagaian biologinya atau biasa disebut sebagai biodiversiti. Contohnya di Taman Laut Pulau Tioman ini sahaja, terdapat lebih kurang  221 spesies batu karang, 233 spesies ikan karang dan 61 spesies hidupan marin lain direkodkan di kawasan taman laut ini. Kepelbagaian terumbu karang dan hidupan marin ini mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara dan sumber pendapatan kepada komuniti tempatan.
 
Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Usaha memulihara sumber asli dan alam sekitar sentiasa diberi keutamaan oleh Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Menyedari kepentingan untuk memelihara biodiversiti marin ini, Jabatan Taman Laut Malaysia telah ditubuhkan pada 16 Julai 2007di bawah seliaan Kementerian ini. Jabatan Taman Laut Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir 42 perairan taman-taman laut bagi melindungi serta mengekalkan biodiversiti yang disokong olehnya.
 
Biodiversiti marin ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar ianya boleh menyumbang kepada ekonomi negara khususnya dalam sektor ekopelancongan yang dianggarkan sebanyak RM600 – RM 800 juta setahun. Sebagai contoh, adalah dianggarkan seramai 500,000 pelancong mengunjungi taman-taman laut pada setiap tahun, di Pulau Tioman sahaja, seramai 200,000 orang pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke pulau ini setiap tahun.
 
Kehadiran pelancong-pelancong ini akan menambah pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk pulau ini. Untuk makluman Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan, Kerajaan telah mengenalpasti Pulau Tioman sebagai salah satu tapak yang akan dipromosikan sebagai destinasi ekopelancongan di bawah inisiatif Malaysia Mega Biodiversiti Hub di Malaysia.
 
Dengan adanya satu usaha menyeluruh untuk meningkatkan ekopelancongan di Pulau Tioman, penduduk tempatan berpeluang untuk terlibat dengan lebih aktif dalam aktiviti yang berasaskan ekopelancongan seperti nature guide, snorkelling dan dive guides serta menyediakan kemudahan penginapan dan sebagainya. Melalui aktiviti-aktiviti ini, adalah diharapkan penduduk tempatan dapat menikmati peluang ekonomi yang lebih baik di samping meningkatkan tahap sosio-ekonomi di pulau ini.
 
Hadirin yang dihormati,
 
Kementerian ini melalui Jabatan Taman Laut Malaysia sentiasa meningkatkan keupayaan sumber manusia dan kelengkapan untuk tujuan memulihara, mengurus dan mengawalselia aktiviti-aktiviti di kawasan taman laut agar aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan memberikan kesan negatif kepada hidupan marin.
                                        
Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan masih ingat, pada awal Mei 2010, kelunturan karang telah melanda beberapa pulau di Taman Laut dan Kerajaan melalui Jabatan Taman Laut Malaysia terpaksa menutup sementara beberapa kawasan rekreasi di pulau-pulau yang terjejas teruk. 
 
Penutupan sementara kawasan rekreasi tersebut adalah bertujuan untuk mengurangkan tekanan kepada terumbu karang dan pada masa yang sama, membenarkan terumbu karang yang terjejas pulih secara semulajadi. Hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Taman Laut Malaysia, sehingga Mac 2011, didapati status kelunturan karang di kawasan Taman Laut telah pulih sepenuhnya  dengan 0% karang yang luntur. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Taman Laut Malaysia dan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini. Oleh yang demikian, saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan pembukaan semula 12  kawasan yang ditutup  sementara di 9 buah Pulau-Pulau Taman Laut.
 
Kemusnahan terumbu karang juga boleh berlaku akibat aktiviti manusia seperti aktiviti rekreasi yang tidak terkawal, penangkapan ikan menggunakan peralatan dan kaedah yang merosakkan dan pembangunan pesisir pantai yang tidak terkawal.  Dalam hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Taman Laut Malaysia sentiasa melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Laut bagi memastikan pematuhan ke atas peraturan-peraturan yang ditetapkan. Pada masa yang sama, usaha-usaha untuk meningkatkan keupayaan Jabatan dalam penguatkuasaan juga diteruskan.
 
Saya juga ingin menyeru kepada penduduk tempatan di pulau ini untuk bersama-sama dengan pihak Kerajaan menjaga pulau ini supaya khazanah warisan biodiversiti negara dapat dinikmati bukan sahaja oleh generasi sekarang tetapi oleh anak cucu kita. Oleh itu, saya amat berharap kita bersama-sama menjaga kebersihan Pulau Tioman ini dan juga keindahan persekitarannya supaya sentiasa dikunjung oleh pelancong.
 
Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Kekayaan sumber biodiversiti marin yang ada di Pulau Tioman ini wajar dimanfaatkan untuk kesejahteraan hidup komuniti setempat. Dalam hal ini, saya menyokong kerjasama antara Jabatan Taman Laut Malaysia dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan badan bukan kerajaan seperti Reef Check Malaysia dalam penambahbaikan pengurusan taman-taman laut dan memperkenalkan amalan rekreasi terbaik seperti penyediaan garis panduan aktiviti snorkelling. Melalui usaha ini, pelbagai pihak terutamanya komuniti tempatan dilibatkan secara aktif dalam pengurusan taman laut dan program-program sara hidup alternatif bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi komuniti tempatan.
 
Selain itu, peningkatan kapasiti penguatkuasaan daripada segi sumber manusia dan bilangan bot-bot peronda yang mencukupi adalah perlu bagi memastikan Jabatan dapat menjalankan peranannya secara berkesan. Selain itu, pihak Jabatan tidak akan dapat memulihara khazanah bernilai yang terdapat di taman laut ini dan juga taman-taman laut yang lain tanpa bantuan dan kerjasama daripada pihak lain seperti agensi-agensi penguatkuasaan dan komuniti tempatan.
 
Penglibatan tuan-tuan dan puan-puan secara aktif dalam membantu Jabatan dalam usaha mencegah kegiatan pencerobohan dan kesalahan-kesalahan lain di kawasan taman laut perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi. Dalam hal ini, saya melihat Badan Perundingan Komuniti yang telah diwujudkan boleh memainkan peranan sebagai platform untuk membolehkan tuan-tuan dan puan-puan menyalurkan maklumat-maklumat yang boleh membantu Kerajaan mengatasi isu-isu pengurusan taman laut. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, hasil daripada kerjasama antara pelbagai agensi dan komuniti tempatan ini, kes tangkapan pada tahun 2010 telah berkurang kepada 47 kes berbanding 72 kes pada tahun 2009, iaitu pengurangan sebanyak 25 kes.
Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Kapal Taman Laut 1 PERMATA telah dibina di bawah tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) bagi menyokong bot peronda laju sedia ada sebanyak 21 unit. Pertambahan bot ini perlu bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan keupayaan Jabatan Taman Laut Malaysia dalam mengurus, mengawalselia dan menjalankan pengawasan 24 jam bagi mencegah pencerobohan dan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985.
 
Kapal Taman Laut 1 PERMATA dengan saiz 18 meter dan kelajuan maksimum 34 knots ini diharap dapat memantapkan lagi aktiviti- aktiviti penguatkuasaan di Taman Laut sama ada penguatkuasaan di atas permukaan air mahu pun pemantauan aktiviti di dalam air terutamanya di kawasan perairan Taman Laut termasuklah mengawasi aktiviti pelancong yang menjalankan aktiviti snorkeling dan selaman scuba daripada kegiatan mengambil atau merosakkan batu karang. Pemantauan juga dibuat  ke atas mana-mana pihak yang menceroboh dan memancing di kawasan Taman Laut. 
 
Jika sebelum ini, pergerakan dan aktiviti penguatkuasaan Jabatan Taman Laut Malaysia adalah terbatas dan terhad semasa musim tengkujuh, namun dengan adanya Kapal Taman Laut 1 PERMATA ini, pencerobohan ke dalam perairan Taman Laut pada musim tengkujuh dapat diatasi. Kelemahan penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Laut semasa musim tengkujuh ini sering diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menceroboh kawasan Taman Laut yang sememangnya kaya dengan hidupan marin.
 
Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan,
 
Adalah menjadi visi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memastikan sumber asli negara terus terpelihara, dalam konteks ini, biodiversiti marin. Pada masa yang sama, penekanan juga diberikan ke atas penggunaannya secara bijak (wise use) agar ianya boleh menyumbang kepada pencapaian status negara berpendapatan tinggi selaras dengan saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan agar bersama-sama berganding bahu dengan Kementerian ini dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti marin.
 
Dengan kata-kata tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Kapal Taman Laut 1 PERMATA Jabatan Taman Laut Malaysia. Sekian, terima kasih.
 
April 27
Earth Day 2011 : A Thousand Acts of Green
 

OFFICIATING SPEECH BY

 

YB. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH KURUP
DEPUTY MINISTER OF NATURAL RESOURCES & ENVIRONMENT
 
STANDARD CHARTERED BANK MALAYSIA
EARTH DAY 2011: A THOUSAND ACTS OF GREEN
KELANA JAYA LAKE PARK, PETALING JAYA
9.50 AM, 23 APRIL 2011
 
 
Mr. Arif Siddiqui
Chief Information Officer
Standard Chartered Bank (Malaysia) Berhad
and Chief Executive Officer of Scope International Malaysia.
 
Mr. Raymond Wong
Chief Financial Officer
Standard Chartered Bank (Malaysia) Berhad
and Country Champion for Environment
 
Yang Berbahagia Dato’ Yunus Abdul Razak
Director General
Department of Minerals & Geosains, Malaysia
 
Yang Berusaha Tuan Ir. Haji Ahmad Jamalluddin Shaaban
Director General
National Hydraulic Institute of Malaysia (Nahrim)
 
Yang Berusaha Tuan Dr. Sukarno Wagiman
Director General
Marine Parks Department, Malaysia
 
Yang Berusaha Puan Zurinah Pawanteh
Undersecretary
Biodiversity and Forestry Management Division, NRE
 
Officers from Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ)
 
Exco Members of Standard Chartered Bank Malaysia and Scope International Malaysia
 
Members of the Media
 
Ladies and gentlemen, boys and girls
 
 
Good Morning and Salam 1 Malaysia
Firstly, let me thank the organisers for inviting and giving me the opportunity to be with all of you here, this morning. It is good to see everyone here on a Saturday morning, for a common cause and to do our part in caring for the environment.
 
I noticed that this is not uncommon for Standard Chartered Bank employees. Whether it is beach cleaning or making and throwing mud balls into lakes, you are always volunteering your time and effort. You have also helped us in our 26 million tree planting campaign. In one way or another, you have helped enthusiastically. Therefore, I know for a fact that this is not just a one off PR event.
 
I can see that a lot of work has gone into preparing for this event, and I’m happy to be part of it. It’s refreshing to see such spirit particularly amongst the younger people. I am told that many of you have been up since before 7 o’clock this morning, helping to clean up this park.
 
This is certainly an effort worth emulating by corporate bodies and organisations. Rather than wasting time and energy shouting slogans by the roadside, it is certainly better to get our hands dirty and do some real and meaningful work. What you are doing today is not only very admirable but also a win-win endeavour to all parties concerned. Be it the residents around the lake, the local government, business people, and in fact everyone as everybody appreciates a clean and beautiful environment. At the same time, Standard Chartered Bank get a good name too.
 
It is our fervent hope that more corporate bodies emulate what you are doing today, especially by encouraging their employees to take up volunteerism. Volunteerism is actually not a new thing in our society as we Malaysians are very familiar with the “gotong-royong” concept where the whole community would get together to carry out certain tasks. In fact we used to do almost everything gotong-royong style. It is certainly not much different from what you are doing today. In your next project, I look forward to know learn of more local community involvement, if possible, outside urban areas, in smaller towns or kampongs. Maybe the banks’ customers can be involved as volunteers as well. 
 
Ladies and gentlemen,
 
Regardless of who or where we work, we all breath the same air, live under the same sun, sleep under the same moon and we all share the same country, the same earth. We do not have another planet to run to. Therefore, we have to make this one work.
 

 

Let me remind you all that not only have we inherited this earth from our forefathers, but we are also borrowing it from our future. No doubt this is a huge responsibility. But is a responsibility that we must accept and cannot fail. We must continue to act together, to raise awareness, to inform those who don’t know, and to work with proper zeal and approach.

 

 
In this perspective, on behalf a responsible and caring government, I have to stress that there just so much that we can do. Yes, we do have law enforcement powers, but without the necessary appreciation and cooperation from all sectors and levels in society, it will all come to naught. Though we have put up all the necessary policies and guidelines to care for the environment, we are always open to new ideas or feedback, albeit in a constructive and positive manner.
 
 
Dato’-dato, ladies and gentlemen,
 
Lastly, I would like to thank the organisers and all the volunteers from Standard Chartered Bank Malaysia and Scope International for all your hard work and dedication shown today. I hope to see you all again in next project, in Sabah perhaps. Together, let us all contribute towards caring and protecting Malaysia’s rich natural heritage.
 
With that, I officially declare open the Standard Chartered Bank Malaysia Earth Day 2011: A Thousand Acts of Green, here today.
 
Thank you.
 
April 27
Majlis Perasmian Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia

Ucapan

YB. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup

Majlis Perasmian Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia 2011
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
Tg. Malim, Perak
8.00 mlm, 6 April 2011
 
 Yang Berbahagia Profesor  Dato’ Dr Aminah Ayob
Naib Canselor
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Yang Berbahagia Profesor Dr. Shaharudin  Abdul Aziz
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Mustaffa bin Ahmad
Dekan Fakulti Sains & Matematik
 
Yang Berusaha Dr. Husni bin Ibrahim
Penasihat Kelab Rakan Alam Sekitar
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Cik Nor Fatihah binti Md Nor
Pengarah Program
Karnival Alam Sekitar 1Malaysia 2011 (KALAM’11)
 
Encik Muhammad Asyraf Zuraimi
Presiden Kelab Rakan Alam Sekitar
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Ahli Jawatankuasa Kerja Karnival Alam Sekitar
 
Pensyarah dan pegawai-pegawai universiti
 
Para pelajar, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
 
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia 
Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur majlis kerana telah sudi menjemput saya merasmikan Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia 2011 (KALAM 11’) ini.
 Saya difahamkan ini kali pertama pihak penganjur iaitu Kelab Rakan Alam Sekitar mengadakan acara seperti ini yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada seluruh warga UPSI, pelajar sekolah dan masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Ini merupakan suatu niat yang begitu baik sekali kerana dalam kita sama-sama sibuk mengejar matlamat atau sasaran hidup masing-masing, faktor alam sekitar seolah-olah sering diketepikan. Justeru, saya berasa gembira kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan bagi menunjukkan sokongan kerajaan dalam inisiatif seumpama ini. 
Saya juga mengucapkan syabas kepada dif-dif jemputan dan hadirin sekalian yang telah melapangkan masa untuk menghadiri majlis pada malam yang berbahagia ini. Sesungguhnya sokongan tuan-tuan dan puan-puan memberikan semangat kepada para siswa dan siswi di sini agar terus komited dalam isu penjagaan alam sekitar.
Adalah menjadi harapan saya agar usaha seumpama ini dapat diteruskan malah diperluaskan masa akan datang. 
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kita sebenarnya sangat bertuah kerana negara kita Malaysia dianugerahkan dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan sumber asli yang unik lagi tidak ternilai. Dalam pada itu, kita juga boleh dikatakan terlindung dari bencana-bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi dan tsunami. Tidak seperti banyak negara lain yang kerap dilanda malapetaka sebegini. Walapun apa yang berlaku ini bolehlah dikatakan sebagai kuasa Tuhan namun, kita haruslah mengambil iktibar dengan mengsyukuri apa yang kita ada ini dengan cara sentiasa memastikan alam sekitar mahupun segala flora dan fauna kita terpelihara dengan baik. 
Kita perlu sedar bahawa masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan secara haram, dan sebagainya menyebabkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Akibatnya timbul implikasi terhadap kesihatan dan kualiti hidup kita. Umpamanya pencemaran sungai bukan sahaja boleh mengotorkan pemandangan tetapi juga menjejaskan kehidupan kita yang bergantung kepada sungai sebagai sumber bekalan air. 
Isu-isu alam sekitar, terutama penjagaan kebersihan dan kualiti air,udara, tanah dan sungai merupakan antara cabaran-cabaran alam sekitar yang perlu dihadapi dan ditangani oleh kita semua.  Dalam hubungan ini, pihak kerajaan telah menggubal pelbagai dasar, perundangan termasuk peraturan-peraturan bagi meningkatkan tadbir urus alam sekitar di negara ini.  
Di sinilah tuan-tuan dan puan-puan warga UPSI sekalian boleh membantu kita. Selain menolong memberikan input-input yang berguna kepada pelbagai dasar dan program kerajaan, saya percaya siswa siswi UPSI yang bakal menerajui sektor pendidikan negara boleh membantu menerapkan semangat cintakan alam sekitar dikalangan generasi muda kita di sekolah-sekolah.  
Hadirin sekalian, 
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak pernah memandang ringan isu-isu alam sekitar. Meskipun sering kali dikritik hebat tetapi kita tetap menerima kritikan, pandangan atau teguran yang diberikan. Namun begitu, saya berharap anak-anak muda khususnya warga UPSI supaya janganlah kita terbawa-bawa dengan budaya membangkang semata-mata tanpa alasan yang realistik dan positif. Kerajaan sentiasa terbuka kepada maklum balas dari semua pihak terutamanya kritikan yang membina. 
Seperti yang kita sedia maklum, segala usaha dipihak kerajaan  sahaja tidak mencukupi untuk menjaga kelestarian alam sekitar. Ia memerlukan kerjasama dan penglibatan seluruh masyarakat. Justeru, saya berharap agar setiap program yang dirancang dalam karnival ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap warga UPSI termasuklah anak-anak sekalian.  
Saya difahamkan pelbagai acara dan aktiviti akan dijalankan sempena karnival ini, seperti pertandingan Kuiz Sejahtera Alam Sekitar, siri ceramah dan wacana, Pertandingan Visi: Duta Kecil Bumi Hijau, pertandingan fotografi, pertandingan memasak (Healthy Food), tayangan gambar dan video, pertandingan pidato dan lain-lain yang membabitkan hampir semua peringkat masyarakat termasuk kanak-kanak tadika. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada pihak penganjur.
Tuan-tuan dan puan-puan, 

 

Sebelum mengakhiri ucapan ini, oleh sebab kebanyakan anda di sini merupakan bakal-bakal guru yang akan mendidik generasi muda Malaysia; didiklah mereka dengan didikan yang ikhlas dari hati. Sesungguhnya khidmat dan bakti saudara-saudari sekalian amatlah tinggi nilainya. Jagalah imej guru yang sememangnya sejak dahulu lagi sentiasa mendapat tempat yang istimewa dikalangan masyarakat. Tanpa guru, siapalah kita semua pada hari ini. 

 

Akhir kata, saya yakin karnival ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat dan supaya ia menjadi contoh yang baik kepada institusi-institusi lain. Semoga manfaat yang diperolehi kelak dapat dipraktikkan menjadi amalan hidup yang lestari demi masa depan bumi ini. 
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Alam Sekitar 1 Malaysia 2011, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. 
Sekian, terima kasih.
 
 
 
 

 

April 25
Majlis Perhimpunan Bulanan NRE Bersama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis

 
Yang Berbahagia Dato’ Zoal Azha bin Yusof
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar;
 
Yang Berbahagia Datuk Aziyah binti Mohamed
Timbalan Ketua Setiausaha I
 
Yang Berbahagia Dr. Che Abdul Rahim Bin Nik
Timbalan Ketua Setiausaha II
 
Dato’- Dato’, Ketua-Ketua Pengarah,
 
Setiausaha-setiausaha Bahagian,
 
Tuan-tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
 
Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia
 
Syukur kepada Tuhan kerana saya telah sekali lagi berpeluang untuk bersama-sama dalam majlis perhimpunan bulan April Tahun 2011, pada pagi ini.
 
Sepatutnya majlis perhimpunan bulanan ini diadakan pada awal bulan namun disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, maka ia ditunda hingga ke pagi ini.
 
Sebelum saya menyampaikan ucapan saya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Tahniah, Selamat Datang dan Selamat Bertugas kepada Timbalan Ketua Setiausaha II kita yang baru, Dr. Che Abdul Rahim bin Nik. Sebenarnya, beliau bukanlah terlalu asing dengan NRE kerana sebelum ini beliau merupakan Timbalan Ketua Pengarah FRIM. Berdasarkan latar belakang dan kepakaran beliau, saya yakin beliau mampu memberikan suatu dimensi baru dalam pengurusan dan pentadbiran kementerian ini.
 
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Sebagaimana yang kita semua maklum, tarikh 22 April setiap tahun adalah juga dikenali sebagai Hari Bumi. Mungkin tidak salah jika saya mengatakan bahawa ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini sehinggalah kita bekerja atau berkhidmat di kementerian ini.
 
Sebenarnya, ia sudah pun wujud sejak 40 tahun lalu. Saya telah membuat sedikit kajian melalui Internet dan mendapati ia mula disambut di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1970. Idea mengenainya dikatakan dicetus oleh seorang Senator AS, Gaylord Nelson selepas beliau menyaksikan keburukan bencana alam sekitar pada tahun 1969 akibat tumpahan minyak di Santa Barbara, California.
 
Dari tahun ke setahun, Hari Bumi atau Earth Day telah disambut dengan oleh lebih ramai orang diseluruh dunia. Jika kita pergi ke website Earth Day Network (www.earthday.org) di dalam Internet, kita boleh dapati pelbagai action atau tindakan yang boleh kita laksanakan ke arah pemuliharaan bumi.
  
Hadirin sekalian,
 
Sejak kebelakangan ini, kita sering dikejutkan dengan kejadian banjir. Kejadian ini bukan sahaja melibatkan kemusnahan harta benda malah ada mengorbankan nyawa.
 
Ini bukan sahaja meninggalkan kesan trauma kepada penduduk yang terlibat malah membuka peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk menangguk air keruh, mengambil kesempatan untuk melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan.
 
Memandangkan isu banjir ini mempunyai kaitan dengan NRE khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), saya sangat berharap agar isu banjir diberi perhatian lebih serius.  Saya faham bahawa banyak peruntukan yang kita pohon tidak diluluskan. Bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan satu-satunya alasan.
 
Saya menyeru pihak pengurusan tertinggi NRE dan JPS terus berusaha untuk meyakinkan pihak Treasury supaya memberikan peruntukan yang lebih dan realistik. Pada masa yang sama, pastikan projek-projek dan lain-lain kerja yang sudah pun diluluskan dilaksanakan dengan baik dan mengikut masa yang ditetapkan.
 
Selain daripada faktor hujan yang turun dengan lebat dan berpanjangan, banjir turut dipengaruhi oleh faktor sungai dan saliran yang dipenuhi oleh sampah sarap.
 
Kempen-kempen seperti Sayangilah Sungai Kita dan Rakan Alam Sekitar haruslah dipertingkatkan. Ini kerana, saya dapati kempen serta inisiatif ini amat baik.
 
Mengikut pengalaman di kawasan saya sendiri di Sabah, masyarakat di sana sangat menyambut baik program ini dan kesannya mula dirasai terutama dikalangan pelajar-pelajar sekolah.
 
Pada 8 April baru-baru ini, saya telah melancarkan Program Rakan Alam Sekitar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tulid yang terletak di dalam kawasan Parlimen saya di P.182 Pensiangan. Hampir 700 orang pelajar, guru dan penduduk setempat telah hadir menyertai pelbagai aktiviti yang telah diaturkan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, JPS dan para pegawai dari pejabat saya sendiri.
 
Saya yakin, dengan strategi dan pendekatan yang sesuai, program ini terbukti bukan sahaja mampu menarik minat bahkan mampu menaikkan imej kementerian ini.
 
Tuan-tuan dan puan-puan,
 
Selaras dengan kempen NRE Go Green yang telah dilancarkan dahulu, saya sekali lagi meminta agar seluruh warga NRE menghayati pelaksanaan kempen ini.
 
Gaya hidup lestari ini sebenarnya sangat mudah untuk kita amalkan. Amalan yang paling mudah ialah menutup suis lampu yang tidak kita gunakan.
 
Oleh sebab saya tinggal di Putrajaya ini, maka saya selalu berkesempatan untuk berada di bandar ini pada waktu malam. Apabila melalui dekat bangunan Wisma Sumber Asli, saya dapati masih ada lampu-lampu pejabat yang tidak dipadamkan meskipun sudah lewat malam dan pada hujung minggu pula.  
 
YBhg. Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,
 
Hasrat kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan disokong inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Kementerian (MKPI) telah menampakkan kesan sangat memberangsangkan apabila 92.3 peratus MKPI mencapai sasaran pada 2010.
Apa yang lebih membanggakan ialah NRE menjadi salah satu daripada 11 buah kementerian yang mencatatkan markah komposit 100 peratus. Ini sekali gus mencerminkan kemajuan cemerlang yang berjaya dicapai, sepanjang tahun 2010.
 
Sehingga akhir Disember 2010, sebanyak 56 projek tebatan banjir telah dilaksanakan kos sebanyak RM874.5 juta. Projek selebihnya telah disiapkan Januari lalu. Mengikut kajian, seramai 430,000 orang telah mendapat manfaat secara langsung darinya.
 
Tahniah sekali lagi diucapkan kepada NRE amnya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) khususnya.
 
Namun begitu, saya percaya masih ada ruang untuk dipertingkatkan lagi pencapaian ini terutamanya dalam bidang penyampaian perkhidmatan atau service delivery.
 
Dato’-dato, datin, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Sebagai seorang wakil rakyat, saya sering menerima aduan dari pelbagai pihak mengenai tahap perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan atau agensi kita. Termasuklah yang di dalam bangunan Wisma Sumber Asli ini juga.
 
Di sini, saya menyeru semua pihak supaya sentiasa mempunyai sifat sense of urgency dalam membuat apa jua kerja. Misalnya, apa jua surat-menyurat serta aduan hendaklah diberikan respons yang segera. Setidak-tidaknya, jawablah bahawa ia telah diterima dan sedang diambil tindakan. Apabila tindakan sudah dibuat, silalah susulkan kepada pengirim atau pengadu berkenaan.
 
Janganlah kita sekali-kali menimbulkan kerenah birokrasi dengan memberikan alasan dari seribu satu pekeliling atau peraturan. Kita tidak boleh terlalu rigid sehingga langsung hilang pertimbangan serta budibicara sewajarnya atau common sense.
 
Aggaplah peraturan-pertauran dan pekeliling yang diwujudkan sebagai alat untuk mempermudahkan tugas, bukan untuk menyusahkan pelanggan kita. Dalam konteks ini para pegawai atasan diminta memberi perhatian atau bimbingan sewajarnya kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing.
 
 
Apa yang penting di sini, bukanlah untuk menjadi salah satu kementerian yang mendapat markah yang tinggi atau banyak bintangnya semata-mata. Tetapi terus dipandang remeh oleh masyarakat. Jika begitu, maka sia-sialah segala usaha yang telah kita buat selama ini. Bak kata pepatah, lembu punya susu, sapi yang dapat nama.
 
 
Hadirin sekalian
 
Akhir sekali mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak urusetia pagi ini iaitu giliran Bahagian Pembangunan, Unit Audit Dalam dan Unit KPI yang telah mengaturkan program perhimpunan bulanan ini dengan jayanya
 
Sekian terima kasih.
 

April 12
MAJLIS PERASMIAN SEMINAR NAMA-NAMA GEOGRAFI

Terima kasih kepada Saudara / Saudari Pengacara Majlis

 
Yang Berhormat Datuk Sukarti Wakiman
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
 
Yang Berusaha Surveyor Ahmad Fauzi bin Nordin
Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia
 
Yang Berbahagia Datuk Haji Osman bin Haji Jamal
Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah
 
Yang Berbahagia Dato’ Surveyor Mohd. Noor bin Isa
Pengarah Ukur Bahagian (Pemetaan) JUPEM
 
Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen
 
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah
 
Datuk – Datuk, Datin – Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan
yang dihormati sekalian.
 
Para petugas media, 
 
Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kerana telah sudi menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan majlis ini iaitu Seminar Nama-Nama Geografi Peringkat Negeri Sabah.
 
Sebenarnya seminar ini merupakan susulan kepada suatu seminar yang serupa yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 21 Februari baru-baru ini. Semasa merasmikan seminar itu, saya telah menyebut dalam ucapan saya bahawa masih banyak pulau-pulau dalam perairan negara kita ini yang belum dinamakan. Secara kebetulan, kesemua pulau-pulau berkenaan terletak dalam negeri Sabah pula.
Oleh yang demikian, pada keesokkan harinya, kenyataan saya ini telah dilaporkan dalam hampir kesemua media negara. Di Sabah, ia telah diberikan perhatian yang agak istimewa oleh akhbar-akhbar tempatan di sini. Tidak ketinggalan juga maklum balas yang saya terima dari rakan-rakan Facebook saya.
 
Dari pelbagai persoalan yang telah ditimbulkan itu, saya merumuskan bahawa terdapat keperluan bagi memberikan pendedahan sewajarnya mengenai usaha menamakan entiti-entiti geografi termasuk pulau-pulau dalam negara kita. Justeru, saya telah mencadangkan supaya suatu seminar yang lebih kurang serupa dapat diadakan di Sabah bagi menjelaskan tentang apakah proses yang perlu dibuat dalam melaksanakan perkara ini agar kesedaran semua pihak, baik di jabatan Kerajaan negeri, wakil rakyat, pemimpin masyarakat, ahli akademik mahupun para pelajar faham dan menghargai usaha yang dibuat selama ini.
 
Oleh yang demikian, saya yakin seminar ini akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan jangka panjang masyarakat Malaysia dan Sabah khususnya dalam standardisasi nama-nama geografi.
 
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Nama-nama geografi sangat penting kerana ia merupakan bahasa pengantara dan komunikasi yang digunakan dalam peta dan carta bagi menunjukkan nama entiti geografi yang terdapat di dalamnya. Nama geografi disebut atau ditulis dalam bahasa yang boleh difahami oleh masyarakat setempat dalam merujuk kepada sesuatu lokasi, entiti atau kawasan sama ada di atas dan di bawah permukaan bumi termasuk lautan. Hakikatnya manusia menggunakan nama geografi ini setiap hari sepanjang hidup mereka.
 
Dalam konteks ini, penamaan nama geografi adalah berdasarkan faktor-faktor yang tertentu iaitu:
 
i)             Berkaitan dengan kisah-kisah masyarakat contohnya seperti Pulau Dayang Bunting, Perigi Hang Tuah, Gunung Kinabalu, Gunung Mat Cincang, Singapura, Baling dan lain-lain;
 
ii)            Hasil pemerhatian keadaan fizikal mukabumi, alam sekeliling termasuk hidupan liar seperti Tanah Rata, Tenang, Ayer Keroh, Gunung Mandi Angin, Bukit Beruang, Gua Musang, Kluang, Sungai Sarang Buaya dan lain-lain;
 
iii)          Sempena dengan sejarah atau peristiwa yang berlaku seperti Ampang Pecah, Janda Baik, Lubok Antu, Kampung New Zealand, Sook, Nabawan, Parit Jepun dan lain-lain;
 
iv)          Bagi memperingati tokoh-tokoh yang seperti Iskandar Johor, Putrajaya, Bandar Tun Razak, Gohtong Jaya, Georgetown, Port Dickson, Jalan P. Ramlee, Jalan Tun Fuad Stephens, Taman Laut Tunku Abdul Rahman dan sebagainya;
 
v)            Mengambil sempena nama-nama peneroka awal seperti Cameron Highlands, Banjaran Crocker, Low’s Peak, Fraser’s Hill dan lain-lain.
 
Hadirin yang dihormati sekalian,
 
Saya amat berasa bangga pada hari ini, kerana saya telah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Pemandu Nama Geografi Negeri Sabah telah meluluskan dan mengesahkan nama-nama bagi kesemua pulau dan entiti geografi luar pesisir. Tahniah dan syabas saya ucapakan. Saya amat menyanjung tinggi usaha-usaha pro-aktif kerajaan negeri dalam mengenalpasti entiti-entiti yang belum bernama untuk dinamakan.
 
Suka saya mengingatkan di sini bahawa pulau-pulau yang telah dinamakan ini  perlu diwartakan supaya ianya tidak mudah dituntut oleh negara-negara lain. Tindakan ini adalah sangat signifikan kerana sesebuah negara boleh menuntut sempadan perairan sehingga 200 batu nautika dari pulau terbabit termasuk sumber ekonomi di persekitarannya.
 
Menurut statistik JUPEM, Malaysia mempunyai 878 buah pulau dan 510 entiti geografi luar pesisir seperti batuan, beting, terumbu, permatang, tompok dan alur.
 
Daripada jumlah itu, negeri Sabah lah yang mempunyai yang paling banyak pulau. Dalam konteks ini, perlu ditekankan bahawa negeri Sabah juga merupakan yang antara yang paling aktif dalam usaha untuk menamakan pulau serta entiti-entiti lain seperti yang saya sebutkan tadi.
 
Namun begitu masih terdapat beberapa entiti yang masih belum ada nama. Saya yakin, semua pihak khususnya pihak Kerajaan negeri sedang berusaha gigih ke arah melengkapkan segala proses yang perlu dengan menumpukan kepada penentuan serta pemilihan nama terbaik yang mengambil kira, jika ada, nama yang telah digunakan oleh penduduk sekitar sejak sekian lama.
 
Menyedari akan kepentingan nama geografi kepada pembangunan negara dan masyarakat, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi atau ringkasnya JKNG pada 11 September 2002. Jawatankuasa ini bertanggungjawab menyelaras aktiviti penamaan nama geografi yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan / agensi Kerajaan Persekutuan.
 
Dalam hal ini, saya mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa ini kerana telah berjaya menghasilkan dokumen Garis Panduan Penentuan Nama Geografi yang diiktiraf oleh SIRIM sebagai Standard Malaysia, yang dikenali sebagai  MS2256: 2009 – Determination of Guidelines for Geographical Names. Justeru, saya menyeru pihak Kerajaan negeri dan semua pihak berkuasa tempatan agar dapat menggunakan dokumen ini sebagai panduan untuk mengemas kini dan menamakan entiti-entiti geografi yang baru seperti taman-taman perumahan dan nama-nama jalan.
 
 
Selain itu, Pangkalan Data Nama Geografi dan Web Gazetir Kebangsaan juga telah diwujudkan sebagai pusat rujukan kepada pihak Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Dalam konteks ini, saya menggesa supaya usaha-usaha bagi meningkatkan, melengkapkan dan mengemaskini pangkalan data ini dilaksanakan secara  berterusan.
 
 
Tuan-tuan dan puan-puan,
 
Kita kini berada di dalam dunia yang serba moden lagi canggih di mana penggunaan Internet secara meluas dan aktif memberikan kita akses pelbagai maklumat termasuklah nama geografi, melangkaui batas dan sempadan negara.
 
Kerajaan sedar bahawa lebih 80% daripada proses urusan Kerajaan dan keputusan yang diambil memerlukan maklumat geospatial. Dengan maklumat geospatial yang tepat dan lengkap, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mampu menguruskan sumber asli dan alam sekitar secara lebih efisyen dan cekap yang akhirnya dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara secara lestari.
 
Seperkara lagi, sebagai wakil Kerajaan Persekutuan, suka saya nyatakan di sini bahawa sekiranya pihak Kerajaan Negeri menghadapi apa jua kesukaran mahupun kekangan baik dari segi peralatan, latihan, kewangan, kepakaran mahupun kakitangan, diharap dapatlah dimaklumkan secara terus supaya ia dapat ditangani sewajarnya.
 
Hadirin yang dihormati sekalian.
 
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada JUPEM yang telah berjaya mengadakan seminar ini dalam tempoh yang agak singkat. Tidak ketinggalan juga kepada semua pembentang kertas dan para peserta yang hadir pada hari ini, terutama mereka yang datang dari jauh.
 
Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Nama-Nama Geografi Peringkat Negeri Sabah pada pagi ini.
 
Sekian, terima kasih.
 

1 - 10Next
 

 Pautan Berkaitan

 
 

 Arkib Mengikut Tahun