.:: Selamat Datang Ke Portal Rasmi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ::.
Saiz "Text" Pilihan : English 


AKTA 678 - AKTA BIOKESELAMATAN 2007

BAHAGIAN III - KELULUSAN BAGI PELEPASAN DAN IMPORT
Seksyen 11. Pemakaian Bahagian III
Seksyen 12. Kehendak bagi mendapatkan kelulusan
Seksyen 13. Permohonan bagi mendapatkan kelulusan
Seksyen 14. Ketua Pengarah hendaklah merujuk permohonan kepada Jawatankuasa Penasihat, dsb
Seksyen 15. Jawatankuasa Penasihat hendaklah membuat syor tentang permohonan bagi mendapatkan kelulusan
Seksyen 16. KELULUSAN import dan pelepasan bagi
Seksyen 17. Kelulusan adalah sah bagi pelepasan dan import yang berikutnya
Seksyen 18. Kajian semula kelulusan apabila mendapat maklumat baru
Seksyen 19. Hal keadaan yang Lembaga boleh membuat perintah selanjutnya apabila diluluskan
Seksyen 20. Rayuan kepada Menteri yang berhubungan dengan kelulusan
 
BAHAGIAN IV - PEMBERITAHUAN BAGI EKSPORT, KEGUNAAN TERKAWAL DAN IMPORT BAGI KEGUNAAN TERKAWAL
Seksyen 21. Pemakaian Bahagian IV
Seksyen 22. Kehendak bagi pemberitahuan
Seksyen 23. Pematuhan kehendak negara pengimport
Seksyen 24. Pengemukaan pemberitahuan
Seksyen 25. Pengakuterimaan pengemukaan pemberitahuan oleh Ketua Pengarah
Seksyen 26. Langkah-langkah khusus yang hendaklah diambil dalam kegunaan terkawal
Seksyen 27. Ketua Pengarah boleh menghendaki maklumat tambahan
Seksyen 28. Ketua Pengarah hendaklah merujuk pemberitahuan kepada Jawatankuasa Penasihat dan agensi yang berkaitan
Seksyen 29. Jawatankuasa Penasihat hendaklah membuat syor tentang pemberitahuan
Seksyen 30. Lembaga hendaklah membuat perintah yang sesuai tentang pemberitahuan
Seksyen 31. Lembaga boleh menghendaki maklumat tambahan
Seksyen 32. Kajian semula pemberitahuan apabila mendapat maklumat baru
Seksyen 33. Hal keadaan yang Lembaga boleh membuat perintah selanjutnya tentang pemberitahuan
Seksyen 34. Rayuan kepada Menteri yang berhubungan dengan pemberitahuan
Seksyen 35. Pembuatan keputusan oleh Lembaga atau Menteri

 

BAHAGIAN III - KELULUSAN BAGI PELEPASAN DAN IMPORT


Seksyen 11. Pemakaian Bahagian III

(1) Bahagian ini hendaklah terpakai bagi aktiviti pelepasan dan aktiviti import yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), Bahagian ini tidak terpakai bagi pengimportan organisma diubah suai yang hidup yang diniatkan bagi maksud menjalankan suatu aktiviti kegunaan terkawal.


Seksyen 12. Kehendak bagi mendapatkan kelulusan

(1) Tiada seorang pun boleh menjalankan apa-apa aktiviti pelepasan, atau apa-apa pengimportan organisma diubah suai yang hidup, atau kedua-duanya tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada Lembaga.

(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 13. Permohonan bagi mendapatkan kelulusan

(1) Sesuatu permohonan bagi mendapatkan kelulusan apa-apa aktiviti pelepasan, atau apa-apa pengimportan organisma diubah suai yang hidup, atau kedua-duanya hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pengarah mengikut cara yang ditetapkan, bersama-sama dengan fi yang ditetapkan, dan hendaklah disertakan dengan-

(a) suatu laporan penilaian risiko dan pengurusan risiko sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 36;

(b) suatu pelan gerak balas kecemasan sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 37; dan

(c) apa-apa maklumat lain sebagaimana yang dinyatakan oleh Lembaga.

(2) Pada bila-bila masa selepas menerima permohonan yang dibuat di bawah subseksyen (1), Ketua Pengarah boleh menghendaki pemohon supaya memberikan maklumat, butir-butir atau dokumen tambahan dalam apa-apa tempoh yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah.

(3) Jika mana-mana pemohon gagal untuk memberikan apa-apa maklumat, butir atau dokumen tambahan yang dikehendaki di bawah subseksyen (2), permohonannya atau permohonan pertubuhan perbadanan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik tanpa menjejaskan suatu permohonan yang baru dibuat.


Seksyen 14. Ketua Pengarah hendaklah merujuk permohonan kepada Jawatankuasa Penasihat, dsb.

Apabila suatu permohonan bagi mendapatkan kelulusan telah dikemukakan mengikut seksyen 13, Ketua Pengarah-

(a) hendaklah merujuk permohonan itu kepada Jawatankuasa Penasihat bagi mendapatkan syornya;

(b) hendaklah merujuk permohonan itu kepada mana-mana jabatan atau agensi Kerajaan yang berkaitan tentang perkara khusus; dan

(c) tertakluk kepada seksyen 59, hendaklah bagi maksud pendedahan umum, mengundang penyertaan orang ramai, mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah, bagi mendapatkan pandangan mereka tentang permohonan itu.


Seksyen 15. Jawatankuasa Penasihat hendaklah membuat syor tentang permohonan bagi mendapatkan kelulusan

(1) Apabila menerima suatu permohonan yang dirujuk kepadanya di bawah perenggan 14(a), Jawatankuasa Penasihat hendaklah menilai permohonan itu bagi maksud membuat syor kepada Lembaga tentang sama ada atau tidak permohonan itu sepatutnya diluluskan, dan terma dan syarat yang hendaklah dikenakan oleh Lembaga, jika ada.

(2) Pada bila-bila masa selepas menerima permohonan itu, Jawatankuasa Penasihat boleh meminta maklumat, butir-butir atau dokumen tambahan daripada pemohon melalui Ketua Pengarah.

(3) Jika mana-mana pemohon gagal untuk memberikan, dalam apa-apa tempoh yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah, apa-apa maklumat, butir atau dokumen tambahan yang dikehendaki di bawah subseksyen (2), permohonannya atau permohonan pertubuhan perbadanan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik tanpa menjejaskan suatu permohonan yang baru dibuat.

(4) Sebaik sahaja Jawatankuasa Penasihat menyiapkan penilaiannya ke atas permohonan itu, Jawatankuasa Penasihat hendaklah mengemukakan syornya tentang permohonan itu kepada Lembaga.


Seksyen 16. Kelulusan bagi pelepasan dan import

(1) Pada bila-bila masa selepas menerima syor Jawatankuasa Penasihat di bawah seksyen 15, Lembaga boleh meminta pemohon supaya memberikan maklumat, butir-butir atau dokumen tambahan dalam apa-apa tempoh yang dinyatakan oleh Lembaga.

(2) Jika mana-mana pemohon gagal untuk memberikan apa-apa maklumat, butir atau dokumen tambahan yang dikehendaki di bawah subseksyen (1), permohonannya atau permohonan pertubuhan perbadanan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik tanpa menjejaskan suatu permohonan yang baru dibuat.

(3) Setelah mempertimbangkan syor Jawatankuasa Penasihat, ulasan jabatan atau agensi yang berkaitan yang disebut dalam perenggan 14(b), pandangan orang ramai, jika ada, yang disebut dalam perenggan 14(c), dan mana-mana maklumat, butir atau dokumen tambahan yang diberikan menurut permintaan di bawah subseksyen (1), Lembaga boleh meluluskan permohonan itu dengan mengeluarkan suatu perakuan kelulusan atau menolak permohonan itu.

(4) Jika Lembaga memberikan kelulusan, Lembaga boleh mengenakan apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga.

(5) Orang yang diluluskan boleh memohon kepada Lembaga bagi mengubah mana-mana terma dan syarat yang dikenakan ke atas kelulusan itu.

(6) Lembaga boleh, pada bila-bila masa selepas kelulusan diberikan, menghendaki orang yang diluluskan itu supaya memberikan apa-apa maklumat, butir atau dokumen selanjutnya sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga.

(7) Mana-mana orang yang diluluskan yang melanggar mana-mana terma dan syarat yang dikenakan ke atas kelulusan itu atau gagal untuk memberikan maklumat, butir-butir atau dokumen yang dikehendaki di bawah subseksyen (6) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 17. Kelulusan adalah sah bagi pelepasan dan import yang berikutnya

(1) Jika sesuatu kelulusan telah diberikan kepada orang yang diluluskan bagi suatu aktiviti pelepasan yang melibatkan mana-mana organisma diubah suai yang hidup atau hasilan organisma sedemikian atau pengimportan organisma diubah suai yang hidup, kelulusan itu adalah sah bagi aktiviti pelepasan yang serupa yang berikutnya yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup atau hasilan organisma sedemikian yang sama atau pengimportan yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup yang sama yang dijalankan oleh orang yang diluluskan itu.

(2) Peruntukan subseksyen (1) tidak sama sekali membebaskan orang yang diluluskan itu daripada mematuhi undang-undang bertulis lain yang mengawal organisma diubah suai yang hidup atau hasilan organisma sedemikian yang sama.

(3) Dalam seksyen ini, "organisma diubah suai yang hidup atau hasilan organisma sedemikian yang sama" ertinya organisma diubah suai yang hidup atau hasilan organisma sedemikian yang diperihalkan dalam kelulusan dan melibatkan kejadian transformasi yang sama.


Seksyen 18. Kajian semula kelulusan apabila mendapat maklumat baru

(1) Lembaga boleh, selepas berunding dengan Jawatankuasa Penasihat, mengkaji semula mana-mana kelulusan pada bila-bila masa apabila mendapat maklumat atau keterangan baru tentang organisma diubah suai yang hidup atau hasilan organisma sedemikian yang berkenaan dengannya kelulusan itu diberikan.

(2) Jika, apabila mengkaji semula kelulusan, Lembaga berpuas hati bahawa terdapat risiko ditimbulkan kepada kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan atau haiwan, alam sekitar atau kepelbagaian biologi, Lembaga boleh mengambil mana-mana tindakan yang berikut:

(a) membatalkan kelulusan itu;

(b) membuat perintah pemberhentian sementara;

(c) mengenakan terma dan syarat tambahan;

(d) memerintahkan orang yang diluluskan untuk membuat pembetulan; atau

(e) membuat apa-apa perintah lain sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga demi kepentingan biokeselamatan.

(3) Jika Lembaga membatalkan sesuatu kelulusan, orang yang diluluskan hendaklah menghentikan semua aktiviti yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dan hasilan organisma sedemikian dengan serta-merta dan hendaklah, dalam masa tujuh hari dari tarikh pemberitahuan pembatalan itu, menyerahkan balik perakuan kelulusan kepada Lembaga.

(4) Jika Lembaga membuat perintah pemberhentian sementara, orang yang diluluskan itu hendaklah menghentikan semua aktiviti yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dan hasilan organisma sedemikian dengan serta-merta dan hendaklah, dalam masa tujuh hari dari tarikh pemberitahuan perintah pemberhentian itu, menyerahkan balik perakuan kelulusan itu kepada Lembaga dan Lembaga hendaklah mengendorskan hakikat dan tempoh pemberhentian sementara itu pada perakuan kelulusan itu dan mengembalikan perakuan itu kepada orang yang diluluskan.

(5) Jika Lembaga mengenakan apa-apa terma dan syarat tambahan orang yang diluluskan itu hendaklah, dalam masa tujuh hari dari pemberitahuan pengenaan terma dan syarat tambahan itu, menyerahkan balik perakuan kelulusan kepada Lembaga dan Lembaga hendaklah mengendorskan terma dan syarat tambahan itu pada perakuan kelulusan itu dan mengembalikan perakuan itu kepada orang yang diluluskan.

(6) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana perintah yang dibuat oleh Lembaga di bawah subseksyen (2) atau melanggar subseksyen (3), (4) atau (5) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 19. Hal keadaan yang Lembaga boleh membuat perintah selanjutnya apabila diluluskan

(1) Walau apa pun kuasa Lembaga untuk mengambil apa-apa tindakan di bawah subseksyen 18(2), Lembaga boleh membatalkan kelulusan, membuat perintah pemberhentian sementara, mengenakan apa-apa terma dan syarat tambahan, memerintahkan orang yang diluluskan untuk membuat pembetulan, atau membuat apa-apa perintah lain sebagaimana yang difikirkan patut demi kepentingan biokeselamatan oleh Lembaga dalam hal keadaan yang berikut:

(a) jika terdapat risiko ditimbulkan kepada kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan atau haiwan, alam sekitar atau kepelbagaian biologi;

(b) jika orang yang diluluskan itu gagal mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dikenakan ke atas kelulusan itu;

(c) jika orang yang diluluskan itu gagal mematuhi mana-mana perintah yang dibuat oleh Lembaga;

(d) jika orang yang diluluskan itu telah melanggar mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, sama ada atau tidak pendakwaan telah dimulakan terhadapnya; atau

(e) jika orang yang diluluskan itu telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini.

(2) Jika Lembaga membatalkan sesuatu kelulusan, orang yang diluluskan itu hendaklah menghentikan semua aktiviti yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dan hasilan organisma sedemikian dengan serta-merta dan hendaklah, dalam masa tujuh hari dari tarikh pemberitahuan pembatalan itu, menyerahkan balik perakuan kelulusan itu kepada Lembaga.

(3) Jika Lembaga membuat suatu perintah pemberhentian sementara, orang yang diluluskan itu hendaklah menghentikan semua aktiviti yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dan hasilan organisma sedemikian dengan serta-merta dan hendaklah, dalam masa tujuh hari dari tarikh pemberitahuan perintah pemberhentian itu, menyerahkan balik perakuan kelulusan itu kepada Lembaga dan Lembaga hendaklah mengendorskan hakikat dan tempoh pemberhentian sementara itu pada perakuan kelulusan itu dan mengembalikan perakuan itu kepada orang yang diluluskan.

(4) Jika Lembaga mengenakan apa-apa terma dan syarat tambahan orang yang diluluskan itu hendaklah, dalam masa tujuh hari dari pemberitahuan pengenaan terma dan syarat tambahan itu, menyerahkan balik perakuan kelulusan itu kepada Lembaga dan Lembaga hendaklah mengendorskan terma dan syarat tambahan itu pada perakuan kelulusan itu dan mengembalikan perakuan itu kepada orang yang diluluskan.

(5) Mana-mana orang yang diluluskan yang melanggar mana-mana perintah yang dibuat oleh Lembaga di bawah subseksyen (1) atau melanggar subseksyen (2), (3) atau (4) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 20. Rayuan kepada Menteri yang berhubungan dengan kelulusan

(1) Mana-mana orang atau orang yang diluluskan yang terkilan dengan mana-mana keputusan atau tindakan Lembaga di bawah seksyen 16, 18 atau 19 boleh merayu terhadap keputusan itu kepada Menteri.

(2) Menteri hendaklah mempunyai kuasa untuk mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan atau tindakan Lembaga.


BAHAGIAN IV - PEMBERITAHUAN BAGI EKSPORT, KEGUNAAN TERKAWAL DAN IMPORT BAGI KEGUNAAN TERKAWAL


Seksyen 21. Pemakaian Bahagian IV

Bahagian IV hendaklah terpakai bagi aktiviti pengeksportan dan kegunaan terkawal yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dan pengimportan organisma diubah suai yang hidup bagi maksud menjalankan aktiviti kegunaan terkawal.


Seksyen 22. Kehendak bagi pemberitahuan

(1) Tiada seorang pun boleh menjalankan mana-mana aktiviti yang berikut tanpa memberikan pemberitahuan terdahulu kepada Lembaga:

(a) pengeksportan organisma diubah suai yang hidup;

(b) kegunaan terkawal yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup;

(c) pengimportan organisma diubah suai yang hidup bagi maksud menjalankan suatu aktiviti kegunaan terkawal.

(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 23. Pematuhan kehendak negara pengimport

(1) Mana-mana orang yang bercadang untuk mengeksport organisma diubah suai yang hidup hendaklah mematuhi kehendak negara pengimport tentang pengimportan organisma diubah suai yang hidup dan hendaklah memaklumkan kepada Lembaga kehendak itu, jika ada, dan pematuhannya atau pematuhan pertubuhan perbadanan dengan kehendak itu mengikut cara yang ditetapkan dan disertakan dengan fi yang ditetapkan.

(2) Maklumat yang diberikan di bawah subseksyen (1) adalah merupakan pemberitahuan yang mencukupi bagi maksud perenggan 22(1)(a).

(3) Pematuhan subseksyen (1) tidak sama sekali membebaskan orang itu daripada mematuhi undang-undang bertulis lain yang mengawal eksport dan perdagangan asing.


Seksyen 24. Pengemukaan pemberitahuan

Pemberitahuan yang dikehendaki di bawah perenggan 22(1)(b) dan (c) hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pengarah mengikut bentuk dan cara yang ditetapkan berserta dengan fi yang ditetapkan dan disertakan dengan dokumen yang berikut:

(a) suatu pelan gerak balas kecemasan sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 37;

(b) berhubung dengan suatu aktiviti kegunaan terkawal yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup, langkah-langkah khusus yang hendaklah diambil; dan

(c) apa-apa maklumat lain sebagaimana yang dinyatakan oleh Lembaga.


Seksyen 25. Pengakuterimaan pengemukaan pemberitahuan oleh Ketua Pengarah

(1) Ketua Pengarah hendaklah mengeluarkan suatu pengakuterimaan penerimaan pemberitahuan yang dikemukakan di bawah subseksyen 23(1) dan seksyen 24 dan orang yang kepadanya pengakuterimaan itu dikeluarkan boleh menjalankan aktiviti yang berhubungan dengan pemberitahuan itu dan boleh terus menjalankan aktiviti itu tertakluk kepada apa-apa perintah yang dibuat oleh Lembaga di bawah subseksyen 30(3).

(2) Pengakuterimaan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) tidak sama sekali membebaskan orang itu daripada mematuhi undang-undang bertulis lain yang mengawal organisma diubah suai yang hidup dan pengimportannya.


Seksyen 26. Langkah-langkah khusus yang hendaklah diambil dalam kegunaan terkawal

(1) Mana-mana orang yang diluluskan yang menjalankan suatu aktiviti kegunaan terkawal hendaklah mengambil mana-mana langkah khusus yang disebut dalam perenggan 24(b) dan sebagaimana yang diluluskan oleh Lembaga.

(2) Mana-mana orang yang diluluskan yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 27. Ketua Pengarah boleh menghendaki maklumat tambahan

(1) Pada bila-bila masa selepas menerima pemberitahuan yang dibuat di bawah subseksyen 23(1) dan seksyen 24, Ketua Pengarah boleh menghendaki orang yang diluluskan itu supaya memberikan maklumat, butir-butir atau dokumen tambahan.

(2) Jika mana-mana orang yang diluluskan gagal untuk memberikan maklumat, butir-butir atau dokumen yang dikehendaki di bawah subseksyen (1), pengakuterimaan yang dikeluarkan kepadanya atau kepada pertubuhan perbadanan itu di bawah seksyen 25 hendaklah disifatkan telah ditarik balik tanpa menjejaskan suatu permohonan baru dikemukakan.


Seksyen 28. Ketua Pengarah hendaklah merujuk pemberitahuan kepada Jawatankuasa Penasihat dan agensi yang berkaitan

Apabila suatu pemberitahuan diaku terima dengan sewajarnya mengikut seksyen 25, Ketua Pengarah hendaklah merujuk pemberitahuan itu kepada Jawatankuasa Penasihat dan mana-mana agensi Kerajaan yang berkaitan tentang perkara khusus.


Seksyen 29. Jawatankuasa Penasihat hendaklah membuat syor tentang pemberitahuan

(1) Apabila menerima pemberitahuan di bawah seksyen 28, Jawatankuasa Penasihat hendaklah menilai pemberitahuan itu bagi maksud membuat syor kepada Lembaga tentang sama ada atau tidak aktiviti yang berhubungan dengan pemberitahuan itu patut diteruskan, dan terma dan syarat yang hendaklah dikenakan oleh Lembaga, jika ada.

(2) Pada bila-bila masa selepas menerima pemberitahuan itu, Jawatankuasa Penasihat boleh meminta maklumat, butir-butir atau dokumen tambahan melalui Ketua Pengarah.

(3) Jika mana-mana orang yang diluluskan gagal untuk memberikan maklumat, butir-butir atau dokumen yang dikehendaki di bawah subseksyen (2), pengakuterimaan yang dikeluarkan kepadanya atau pertubuhan perbadanan di bawah seksyen 25 hendaklah disifatkan telah ditarik balik tanpa menjejaskan pemberitahuan yang baru dikemukakan.

(4) Apabila membuat suatu penilaian terhadap pemberitahuan itu, Jawatankuasa Penasihat hendaklah mengemukakan syornya tentang pemberitahuan itu kepada Lembaga.


Seksyen 30. Lembaga hendaklah membuat perintah yang sesuai tentang pemberitahuan

(1) Pada bila-bila masa selepas menerima syor Jawatankuasa Penasihat dan ulasan agensi yang berkaitan yang disebut dalam seksyen 28, Lembaga boleh meminta maklumat, butir-butir atau dokumen tambahan melalui Ketua Pengarah.

(2) Jika mana-mana orang yang diluluskan gagal untuk memberikan apa-apa maklumat, butir atau dokumen tambahan yang dikehendaki di bawah subseksyen (1), pengakuterimaan yang dikeluarkan kepadanya atau pertubuhan perbadanan di bawah seksyen 25 hendaklah disifatkan telah ditarik balik tanpa menjejaskan pemberitahuan yang baru dikemukakan.

(3) Apabila mempertimbangkan syor Jawatankuasa Penasihat di bawah subseksyen 29(4), Lembaga boleh tidak membuat perintah, mengeluarkan perintah pemberhentian, mengenakan apa-apa terma dan syarat, memerintahkan orang yang diluluskan itu supaya membuat pembetulan atau membuat apa-apa perintah lain sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga demi kepentingan biokeselamatan.

(4) Lembaga hendaklah membuat keputusannya di bawah subseksyen 30(3) dalam masa sembilan puluh hari dari tarikh penerimaan pemberitahuan itu dan memberitahu keputusannya secara bertulis kepada orang yang diluluskan.

(5) Jika Lembaga mengeluarkan suatu perintah pemberhentian, orang yang diluluskan hendaklah menghentikan semua aktiviti yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dengan serta-merta dan hendaklah, dalam masa tujuh hari dari tarikh pemberitahuan perintah pemberhentian itu, menyerahkan balik pengakuterimaan penerimaan pemberitahuan yang dikeluarkan kepadanya atau pertubuhan perbadanan di bawah seksyen 25 kepada Lembaga.

(6) Mana-mana orang yang diluluskan yang melanggar mana-mana perintah yang dibuat oleh Lembaga di bawah subseksyen (3) atau melanggar subseksyen (5) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 31. Lembaga boleh menghendaki maklumat tambahan

(1) Lembaga boleh, pada bila-bila masa, selepas menjalankan kuasanya di bawah subseksyen 30(1), menghendaki orang yang diluluskan itu supaya memberikan apa-apa maklumat, butir atau dokumen tambahan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga.

(2) Mana-mana orang yang diluluskan yang gagal untuk memberikan apa-apa maklumat, butir atau dokumen yang dikehendaki di bawah subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 32. Kajian semula pemberitahuan apabila mendapat maklumat baru

(1) Lembaga boleh, selepas berunding dengan Jawatankuasa Penasihat, mengkaji semula mana-mana pemberitahuan pada bila-bila masa apabila menerima maklumat atau keterangan baru tentang organisma diubah suai yang hidup yang berhubungan dengan pemberitahuan itu.

(2) Apabila mengkaji semula, jika terdapat risiko ditimbulkan kepada kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan atau haiwan, alam sekitar atau kepelbagaian biologi, Lembaga boleh mengambil mana-mana tindakan yang berikut:

(a) membuat suatu perintah pemberhentian;

(b) mengenakan terma dan syarat tambahan;

(c) memerintahkan orang yang diluluskan itu untuk membuat pembetulan; atau

(d) membuat apa-apa perintah lain sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga demi kepentingan biokeselamatan.

(3) Jika Lembaga membuat perintah pemberhentian, orang yang diluluskan itu hendaklah menghentikan semua aktiviti yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dengan serta-merta dan hendaklah, dalam masa tujuh hari dari tarikh pemberitahuan perintah pemberhentian itu, menyerahkan balik pengakuterimaan pengemukaan pemberitahuan yang dikeluarkan di bawah seksyen 25 kepada Lembaga.

(4) Mana-mana orang yang diluluskan yang melanggar mana-mana perintah yang dibuat oleh Lembaga di bawah subseksyen (2) atau melanggar subseksyen (3) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 33. Hal keadaan yang Lembaga boleh membuat perintah selanjutnya tentang pemberitahuan

(1) Walau apa pun kuasa Lembaga untuk mengambil apa-apa tindakan di bawah subseksyen 32(2), Lembaga boleh membuat suatu perintah pemberhentian, mengenakan apa-apa terma dan syarat tambahan, memerintahkan orang yang diluluskan itu untuk membuat pembetulan, atau membuat apa-apa perintah lain sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga demi kepentingan biokeselamatan dalam hal keadaan yang berikut:

(a) jika terdapat risiko ditimbulkan kepada kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan atau haiwan, alam sekitar atau kepelbagaian biologi;

(b) jika orang yang diluluskan itu gagal mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dikenakan ke atas pemberitahuan itu;

(c) jika orang yang diluluskan itu gagal mematuhi mana-mana perintah yang dibuat oleh Lembaga;

(d) jika orang yang diluluskan itu telah melanggar mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini sama ada atau tidak pendakwaan telah dimulakan terhadapnya; atau

(e) jika orang yang diluluskan itu telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini.

(2) Jika Lembaga membuat suatu perintah pemberhentian, orang yang diluluskan hendaklah menghentikan semua aktiviti yang melibatkan organisma diubah suai yang hidup dengan serta-merta dan hendaklah, dalam masa tujuh hari dari tarikh pemberitahuan pemberhentian itu, menyerahkan balik pengakuterimaan pengemukaan pemberitahuan yang dikeluarkan di bawah seksyen 25 kepada Lembaga.

(3) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana perintah yang dibuat oleh Lembaga di bawah subseksyen (1) atau melanggar subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,-

(a) jika orang itu ialah orang perseorangan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan;

(b) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.


Seksyen 34. Rayuan kepada Menteri yang berhubungan dengan pemberitahuan

(1) Mana-mana orang atau orang yang diluluskan yang terkilan dengan mana-mana keputusan Lembaga yang berhubungan dengan pemberitahuan itu boleh merayu terhadap keputusan itu kepada Menteri.

(2) Menteri hendaklah mempunyai kuasa untuk mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Lembaga.


Seksyen 35. Pembuatan keputusan oleh Lembaga atau Menteri

Lembaga atau Menteri tidak boleh dihalang daripada membuat keputusan, yang sesuai, di bawah Bahagian III atau Bahagian IV, jika terdapat kekurangan kepastian saintifik disebabkan oleh maklumat dan pengetahuan saintifik yang berkaitan tidak mencukupi berkenaan dengan takat kesan buruk yang berpotensi bagi organisma diubah suai yang hidup atau hasilan organisma sedemikian terhadap kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi dan boleh juga mengambil kira pertimbangan sosioekonomi.

 

 

 
Saiz "Text" Pilihan : Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Wisma Sumber Asli, No.25, Persiaran Perdana, Presint 4,62574 PUTRAJAYA,MALAYSIA webmaster@nre.gov.my 1-800-88-2727 03 8886 1111 03 8889 2672
Alamat Emel Talian Bebas Tol Telefon Fax
 

Paparan terbaik adalah dengan menggunakan Internet Explorer versi 7 dan keatas serta resolusi monitor 1280 x 1024

© Hak Cipta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar 2008. Hak Cipta Terpelihara.

PENAFIAN: Walaupun segala penelitian telah diambil dalam penyediaan maklumat dalam laman web ini, tiada warranti sama ada nyata atau tersirat diberikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ataupun Kerajaan Malaysia tentang kesempurnaan dan ketepatan maklumat yang diberi, dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab atas apa-apa kesilapan atau ketinggalan yang mungkin berlaku. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar atau Kerajaan Malaysia tidak sekali-kali boleh dipertanggungkan atau dipertanggungjawabkan bagi apa jua kerugian, termasuk tanpa batasan, kerugian khusus, tidak langsung atau berbangkit yang timbul daripada atau berkaitan dengan penggunaan atau kebergantungan maklumat yang terkandung dalamnya, sama ada melalui tindakan dalam kontrak atau tort atau selain daripadanya tidak kira bagaimana jua sekalipun.